Umno Kuala Kangsar dapat nakhoda baharu?

in Uncategorized by


MANONG – Berdasarkan situasi beberapa minggu kebelakangan ini, pemilihan Umno yang akan berlangsung tidak lama lagi memperlihatkan akan adanya perubahan pucuk pimpinan parti tersebut.


Nama-nama besar bersilih ganti menawarkan diri bertanding pelbagai jawatan tertinggi parti dalam usaha mengembalikan semula parti berusia 72 tahun itu.


Itu di peringkat nasional, di peringkat bahagian Kuala Kangsar pula ada cerita dan khabar angin berlegar di kalangan ahli menandakan mungkin perubahan juga bakal berlaku dalam parti itu.


Terbaru, Adun Manong, Mohamad Zuraimi Razali secara terbuka memuat naik status menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Kangsar.


Menurutnya, beliau mengambil keputusan itu selepas mengambil kira hasrat akar umbi parti serta jawatankuasa parti yang mahukan beliau memegang jawatan tersebut.


“Setelah kajian rambang dibuat, perbincangan bersama ahli veteran, jawatankuasa bahagian, ketua-ketua cawangan, aktivis serta ahli akar umbi, maka keputusannya telah diperoleh.

Maslin Sham ketika menyampaikan amanat kepada ahli Umno semasa menghadiri mesyuarat cawangan. Turut kelihatan, Mohamad Kamil (duduk, kanan)


“Berdasarkan pilihan rakyat, saya menawarkan diri untuk membantu Ketua Umno Bahagian Kuala Kangsar dan mencurah bakti kepada parti keramat ini di mana sudah 25 tahun saya menjadi ahlinya.


“Saya pernah melibatkan diri sebagai Pemuda, Setiausaha Cawangan, pereakilan cawangan saban tahun termasuk pernah menjadi Timbalan Ketua Penerangan Umno Bahagian dan kali ini saya ingin terus membantu parti,” katanya.


Penawaran itu sudah pasti menimbulkan tanda tanya berhubung kedudukan Pemangku Ketua Umno Bahagian Kuala Kangsar, Datuk Mohamad Kamil Shafie.


Malah, ia juga seakan mengesahkan khabar angin mendakwa Adun Bukit Chandan, Maslin Sham Razman mungkin bakal diangkat untuk mengemudi parti itu selepas pemilihan akan datang.


Menurut sumber dalaman parti yang enggan namanya didedahkan mendakwa terdapat cadangan mahukan Maslin Sham mengambil alih kepimpinan Umno Bahagian Kuala Kangsar.


“Bukan mereka mahu menolak sesiapa namun merasakan Datuk Mohamad Kamil mungkin boleh berehat seketika disebabkan faktor kesihatannya yang kurang memuaskan.


“Memang Umno menang ketiga-tiga kerusi di Kuala Kangsar namun kita tahu parti semakin lemah. Jadi, kita perlu bangkit selepas ini dan pemimpin muda seperti Maslin Sham amat sesuai memimpin parti.


“Buat masa ini tiada sebarang kenyataan rasmi dari kedua-dua belah pihak kerana sedang sibuk merasmikan mesyuarat cawangan di sekitar Kuala Kangsar. Kita tunggu sikit lagi,” ujarnya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]