‘Uwan 102 tahun pun puasa’

in Edisi by


JEMPOL – Usia bukanlah penghalang untuk seorang warga emas yang mencecah usia 102 tahun untuk berpuasa sepanjang Ramadan ini.


Malah, Neemah Maalam bersyukur apabila diberikan kesihatan yang baik untuk menjalankan ibadah itu tanpa meninggalkannya walau sehari.


Menurutnya, bagaimanapun puasa tidak pernah menjadi alasan kepadanya untuk tidak meneruskan aktiviti harian atau sekadat berehat di dalam rumah.


“Kebiasaannya, pagi-pagi uwan dah ke laman rumah tengoklah apa boleh dibuat. Kadang-kadang uwan mencangkul rumput, sapu sampah. Perkara yang dah biasa buat, sebab itu semasa bulan puasa uwan tak rasa penat.


“Tetapi uwan akuilah tahun ini agak berbeza daripada tahun sebelum ini, uwan tak lah sekuat dulu. Tahun ini badan dah mula sakit-sakit tapi Alhamdulillah uwan masih boleh teruskan puasa dengan sempurna,” katanya ketika ditemui di rumahna di Kampung Serting Ilir di sini.


Neemah yang juga bekas bidan kampung berkata, tidak meninggalkan sahur adalah rahsia dia kekal bertenaga sepanjang bulan Ramadan.


“Bangun sahur tapi hanya makan sedikit untuk mengalas perut supaya tidak lapar, bersahur tu berpada-pada. Jangan makan seperti takkan makan lagi.


“Bagi uwan, cukuplah segelas air panas bersama sedikit nasi dan sejenis lauk. Kemudian, kurma sebagai pencuci mulut,” katanya.


Dalam pada itu, Neemah yang mempunyai enam anak namun lima daripadanya sudah meninggal dunia berkata, persiapan ala kadar dilakukannya untuk meraikan Aidilfitri bersama anak perempuan dan cucu yang pulang beraya di kampung.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]