Aliran trafik dijangka sesak bermula Selasa

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU –  Sempena sambutan Hari Raya yang akan diraikan pada Jumaat ini, aliran trafik dijangka sesak bermula Selasa ini hingga Jumaat dan Isnin hingga Selasa depan (18-19 Jun 2018) di beberapa laluan kerana pertambahan kenderaan di atas jalan raya sebanyak tiga kali ganda berbanding hari biasa.


Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Superintendan Abd Razak Hasan berkata, terdapat enam laluan yang dikenalpasti mengalami kesesakan agak teruk iaitu membabitkan tujuh daerah termasuk Kemaman, Dungun, Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Besut, Marang dan Setiu.


“Antaranya di jalan utama Kuala Terengganu/ Kuantan (Bandar Chukai, Kemaman) dan jalan utama Kuala Terengganu/Kuantan (Bandar Dungun, Dungun).


“Selain itu, di Jalan Tengku Mizan (hadapan Mydin Mall), Jambatan Sultan Mahmud, pusat bandar Kuala Terengganu dan Jalan Banggol Air Lilih, Kuala Nerus.


“Turut dijangka mengalami kesesakan di Pekan Jertih, Besut dan di Marang pula di persimpangan Batangan, Jambatan Marang serta lampu Isyarat Bandar Marang manakala di Setiu, di persimpangan Chalok, Bandar Permaisuri dan Guntung,” katanya ketika dihubungi hari ini.


Abd Razak berkata, di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) pula, kesesakan dijangka akan berlaku di laluan keluar plaza tol Kuala Terengganu (Kampung Gemuruh).


“Susulan itu, pengguna LPT2 dinasihatkan agar dapat mengikut arahan serta peringatan pihak konsesi lebuhraya bagi memastikan kesesakan ini dapat diatasi selain mematuhi had laju ditetapkan,” katanya.


Jelasnya lagi, bagi memastikan kelancaran lalulintas, anggota trafik akan memantau jalan-jalan sesak dan akan mengambil tindakan perlu bagi memastikan pengguna jalan raya tidak terperangkap dalam kesesakan.


“Sebagai contohnya, kita akan membuat penarikan di persimpangan, laluan juga akan dibuat selari dan jika perlu, lencongan akan dibuat,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]