Bebaskan kementerian dari unsur politik

in Nasional by


SHAH ALAM – Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menyambut baik ikrar Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub yang akan memastikan pegawai kementerian itu tidak terlibat dalam urusan politik dan menggunakan aset kementerian untuk acara politik.


Brig Jeneral Datuk Mohamed Arshad Raji (B) berkata, langkah dibuat Salahuddin itu adalah wajar dan tepat, menunjukkan beliau faham peranannya sebagai menteri dan ahli politik.


“Kenyataan Salahuddin dianggap sebagai ciri ahli politik sejati, yang tidak memanfaatkan kedudukan menteri untuk kepentingan diri,” katanya melalui satu kenyataan kepada media.


Mohamed Arshad menggesa kerajaan baharu wajar mengambil pendekatan sama dengan menjadikannya sebagai dasar bagi semua menteri dan timbalan menteri.


“Kami percaya dasar sedemikian akan menghalang penyalahgunaan yang berleluasa yang melampau pada masa lalu, serta mengelakkan kakitangan kementerian daripada melaksanakan fungsi yang berada di luar skop tanggungjawab jabatan mereka,” tegasnya.


Selain itu, Mohamed Arshad berkata ketua-ketua jabatan juga perlu mengeluarkan arahan khusus kepada kepada kakitangan mereka dengan menentukan apa yang menjadi tugas politik dan apa yang tidak.


“Kami telah melihat pada masa lalu di mana ketua-ketua jabatan akan mengeluarkan arahan kepada kakitangan bawahan untuk menghadiri acara menteri politik, semata-mata untuk memastikan kehadiran yang besar pada program tertentu,” katanya.


Pada masa sama, Patriot turut memuji tindakan yang diambil kerajaan baharu untuk menyiasat dengan serius gaji dan elaun pelantikan politik yang memegang jawatan dalam GLC.


“Tidak masuk akal untuk CEO GLC mendapat gaji RM100,000 sebulan dan menyamakannya dengan syarikat swasta.


Jumlah gaji dan elaun Ketua Pegawai Eksekutif, Pengerusi atau ahli lembaga GLC perlu mengikut asas tertentu,” katanya.  


Katanya, jumlah jawatan pegawai kanan yang dilantik memegang jawatan dalam lembaga GLC juga perlu dihadkan.


Salahuddin ketika berucap dalam program dialog bersama pesawah di Kota Bharu, Kelantan, kelmarin memberi jaminan kakitangan kementeriannya tidak akan dilibatkan dalam soal politik.


Sebaliknya beliau berkata mereka akan diberi kebebasan untuk melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dan negara.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]