Dua hari selepas ditembak, pemimpin Islam meninggal dunia

in Global by


PATTANI – THAILAND. Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pattani, Aduldej Cheknae, yang parah ditembak penyerang tidak dikenali dua hari lepas, meninggal dunia awal pagi tadi.


Setiausaha majlis itu, Solahuddin Yusuf, berkata beliau meninggal dunia di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pattani pada kira-kira 2.45 pagi (waktu tempatan).


Allahyarham dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Anak Bukit Lalo, di sini selepas solat jenazah di Masjid Pondok Lalo Wittaya, yang dihadiri oleh kira-kira 10,000 penduduk dan pemimpin tempatan.  


Aduldej juga merupakan ketua bahagian halal Majlis Agama Islam Pattani dan  pengarah Sekolah Agama Pondok Lalo Wittaya. Pada 9 Mac lepas, beliau dilantik sebagai Ketua Jawatankuasa Kecil Pengurusan Proses Rundingan Damai.


Aduldej atau nama Melayunya, Adul Abdul Rasheed, 55, parah ditembak dua lelaki bermotosikal itu semasa dalam perjalanan pulang selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Pondok Lalo Wittaya.


Ketua Polis Pattani Mejar Jeneral Piyawat  Chalermsi berkata penyerang itu melepaskan tiga das tembakan yang terkena pipi dan kepala mangsa.


“Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan mengenai kejadian itu. Mangsa tidak mempunyai masalah dengan mana-mana pihak,” katanya.


Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu.


Aduldej, yang mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Pondok Darussalam di Ranget, Narathiwat sebelum melanjutkan pelajaran di Pakistan, meninggalkan seorang isteri dan empat anak.  


Baru-baru ini, pejabat Majlis Agama Islam Pattani dipilih untuk menempatkan Rumah Selamat susulan pengenalan konsep Zon Selamat di wilayah-wilayah selatan Thailand.


Konflik bersenjata di selatan Thailand sejak 2004 telah mengorbankan kira-kira 7,000 orang, menurut kajian oleh Deep South Watch. – Bernama


Source: SH Global

[featured-video-plus]