Empat jam pindah gajah

in Edisi by


JELI – Kira- kira empat jam diambil Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan untuk memindahkan seekor gajah liar di Kampung Kalai di sini, hari ini.


Pengarah Perhilitan negeri, Mohd Hasdi Husin berkata, jangka masa berkenaan diambil untuk memujuk gajah jantan seberat dua tan itu dengan bantuan dua gajah denak betina dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK), Kuala Gandah, Rambai dan Abot.


“Proses pemindahan berjalan lancar, masa diambil untuk bawa keluar gajah jantan berkenaan dari tempat diikat ke loading bay yang dibuat kira-kira satu kilometer dari lokasi gajah tersebut.


“Gajah seberat dua tan dengan saiz tapak kaki 40 sentimeter (16 inci) ini ditangkap di kawasan kebun getah di Kampung Kalai 4 Jun lalu,” katanya.


Operasi pemindahan gajah berkenaan diketuai Timbalan Ketua Pusat, PKGK Kuala Gandah, Mohamad Khairul Adha Mat Amin dan turut dihadiri Timbalan Pengarah Jabatan Perhilitan negeri, Shaary Awang serta Penolong Pegawai Hidupan Liar Perhilitan Jeli, Ahmad Syawal Mohamed Gani.


Mohd Hasdi berkata, seramai 18 anggota dari Jabatan Perhilitan negeri dan PKGK Kuala Gandah terlibat dalam operasi yang bermula jam 8 pagi itu.


Menurutnya, gajah berkenaan akan dihantar ke Santuari Gajah Sungai Deka, Hulu Terengganu.


“Gajah liar ini merupakan gajah ketiga yang berjaya ditangkap di daerah Jeli sepanjang tahun ini,” katanya.


Menurutnya lagi, proses pemindahan gajah berkenaan menelan perbelanjaan sebanyak RM50,000.


“Jabatan Perhilitan Kelantan ucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan operasi pemindahan ini termasuk pegawai daerah dan kakitangan Pejabat Tanah dan Jajahan Jeli serta Pegawai Penyelaras Dun Ayer Lanas yang menyediakan backhoe (traktor) bagi membina laluan jalan dan pembinaan loading bay,” katanya.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]