Jalan TAR terus ‘win’!

in Edisi Selangor KL by


KUALA LUMPUR – Kurang seminggu lagi menyambut Aidilfitri, Jalan Tunku Abdul Rahman (Jalan TAR) dan sekitar kawasan Masjid India masih mengekalkan rekod sebagai kawasan tumpuan ramai di ibu negara.


Cuti hujung minggu terakhir sebelum Hari Raya Aidilfitri yang dijangka jatuh pada Jumaat ini dimanfaatkan sepenuhnya orang ramai untuk membeli persiapan akhir.


Seperti mana tahun-tahun sebelum ini, Bazar Ramadan Jalan TAR​​ dan Masjid India yang disediakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) masih belum gagal menambat hati pengunjung dengan pelbagai pilihan pakaian untuk segenap lapisan umur.


Baju kurung dijual serendah harga RM10 untuk saiz kanak-kanak, dan tiga pasang RM100 untuk dewasa.


Bahkan, meskipun hanya berstatus bazar, ia bukan penghalang untuk peniaga menawarkan pakaian yang ‘glamor’ yang kebiasaannya dijual di butik-butik premis perniagaan.


Dengan harga mampu milik dan fesyen yang pelbagai waima untuk pakaian kanak-kanak, ia menjadikan kawasan tumpuan it uterus menjadi pilihan pengunjung walaupun terpaksa bersesak dan berpanas.


Kuih raya, kasut, baju melayu, songkok, sampin, butang baju dan tudung, aksesori adalah pelengkap syurga membeli belah itu membuatkan kawasan Jalan TAR terus ‘win’.


Salah seorang pengunjung, Fatimah Abdullah, 35, berkata, sejak berkahwin lima tahun lalu, dia selesa membeli belah di kawasan itu kerana mempunyai banyak pilihan dan harga berpatutan.


Katanya, pilihan pakaian untuk kanak-kanak paling banyak membuatkan dia berpuas hati berbelanja di situ.


“Biasanya minggu-minggu akhir ni banyak lelongan baju. Cuma kadang-kadang saiz saja susah dapat sebab sudah banyak yang habis. Tapi masih ada banyak pilihan,”katanya.


Sementara itu, peniaga tudung, Soraya Mohd Hilmi, 37, berkata, kuasa membeli pengunjung masih ditahap memuaskan seperti mana tahun-tahun sebelum ini.


Ujarnya, memandangkan ini adalah tempoh-tempoh pecutan akhir untuk menggandakan jualan, operasi perniagaannya hanya tutup selama tiga jam bermula jam 5.30 pagi sebelum kembali beroperasi.


“Lebih 200 helai tudung boleh terjual dalam sehari pada minggu-minggu akhir ini. Ramai pelanggan dari luar Kuala Lumpur, malah ada yang dari Indonesia yang datang ke sini semata-mata untuk beli persiapan Aidilfitri,”katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]