Jangan beri alasan: MB Johor

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian mengingatkan wakil rakyat Pakatan Harapan (Harapan) di negeri ini, agar bekerja lebih kuat dan tidak mensia-siakan kepercayaan rakyat.


Menurutnya, wakil rakyat tidak boleh merasakan diri mereka letih dan tiada masa untuk memberi khidmat kepada rakyat sekali gus memberikan pelbagai alasan.


“Rakyat hari ini bukannya rakyat sebelum merdeka. Tidak mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup. Hari ini semua rakyat cerdik pandai malah lebih pandai daripada kita pun ada. Jadi itu sebab kita kena berhati-hati. Kita perlu bekerja kuat.


“Rakyat sudah pandai menilai, itu sebab kerajaan yang lepas walaupun sudah lama memerintah, tetapi banyak perkara-perkara yang menjurus kepada kebaikan kebajikan rakyat, negara dan agama tidak diurus tadbir dengan betul, rakyat menilai, maka hari ini mereka sudah jadi pembangkang,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Mengimbau Kenangan bersama Harapan Kampung Bakar Batu, Taman Perling di Balai Raya Kampung Bakar Batu, di sini, hari ini.


Hadir sama, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani merangkap Ahli Parlimen Pulai, Salahuddin Ayub serta Adun Perling, Cheo Yee How.


Osman berkata, beliau turut berharap Harapan yang satu ketika dahulu dicaci, menjadi sebuah gabungan parti yang kuat dan unggul dalam memperjuangkan nasib serta masa depan rakyat di negeri dan negara ini.


“Menjadi sebuah parti yang besar, tetapi tanpa didorong dan mendapat kerjasama rakyat, kita juga tidak boleh melakukan apa-apa.


“Selain kita memperkukuhkan parti dan wakil rakyat menjalankan khidmat mereka sebaik mungkin, tetapi kerjasama daripada rakyat mestilah bersama (seiring),” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]