Jho Low tiada di Pulau Pinang?

in Nasional by


GEORGETOWN – Ahli perniagaan yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low dipercayai tiada di Pulau Pinang.


Tinjauan Sinar Harian hari ini di sebuah rumah mewah dekat Tanjung Bungah Park yang dipercayai milik kepada ahli keluarga berkenaan juga tidak berpenghuni.


Pemerhatian hampir sejam di sekitar kawasan perumahan itu mendapati tiada mana-mana individu dilihat keluar dan masuk dari rumah tersebut.


Rumah banglo yang terletak kira-kira satu kilometer dari jalan utama itu turut kelihatan sunyi dengan semua pintu serta tingkap ditutup.


Usaha Sinar Harian menemui penghuni di dalam rumah tersebut bagaimanapun gagal kerana tiada individu dilihat berada di situ.


Sementara itu, beberapa jirannya yang enggan dikenali mengesahkan sudah lama rumah itu tidak berpenghuni.


“Dah lama tak nampak orang keluar masuk rumah tu. Kalau ada pun mungkin orang gaji saja.


“Lampu rumah pun tak buka, malam-malam gelap,” katanya.


Menurutnya, Jho Low sering menghuni kediaman tersebut sekiranya balik ke Pulau Pinang.


Kediaman itu mula menjadi tumpuan pengamal media setelah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan alamat terakhir Jho Low di negeri ini.


Jho Low diminta hadir ke SPRM bagi membantu siasatan kes SRC Internasional Sdn Bhd (SRC) bersama seorang lagi individu iaitu Pengarah SRC, Nik Faisal Ariff Kamil Nik Othman Arif Kamil.


Bagaimanapun, rumah tersebut didakwa tidak lagi berpenghuni setelah alamat ahli perniagaan itu didedahkan pihak berkuasa.


Beberapa laporan turut mendakwa kemungkinan Jho Low berada di luar negara termasuk Thailand, Hong Kong dan Australia


Kedua-dua mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang jika gagal hadir membantu siasatan SPRM.


Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki pada sebelum ini berkata, tiada alasan untuk mereka tidak hadir membantu siasatan kes berkenaan.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]