'Kalah PRU14 bukan penghalang agenda kebajikan'

in Uncategorized by


PARIT BUNTAR – Kekalahan pada PRU14 bukan alasan kepada Pas kawasan Parit Buntar untuk menghentikan perjuangan memberi program khidmat bakti kepada rakyat Parlimen itu.


Sebaliknya, Timbalan Yang Dipertua (YDP) Kawasan Parit Buntar, Abu Bakar Hussain berkata, pelbagai program kebajikan terus disusun bagi memastikan Pas Parit Buntar bergerak menjelajah seluruh Parlimen Parit Buntar bagi bertemu rakyat dan mengucapkan terima kasih di atas sokongan mereka pada PRU14.


Menurutnya, kemenangan dan kekalahan bukanlah isu persoalan besar, sebaliknya usaha mendekati rakyat adalah agenda utama yang diberi penekanan Pas terhadap ahli-ahlinya.


“Justeru, Dewan Pemuda Pas kawasan Parit Buntar sebelum ini mengadakan pelbagai aktiviti bagi merancakkan Ramadan bersama rakyat seperti mengedarkan bubur lambuk di beberapa lokasi.


“Di samping itu, pihak kami turut menyampaikan bantuan kepada  golongan asnaf kurang berkemampuan di samping mengedar juadah sahur kepada pekerja kilang yang bertolak ke tempat kerja mereka seawal jam 5 pagi di beberapa lokasi dikenal pasti,” katanya kepada media di sini semalam.


Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda Pas kawasan Parit Buntar, Syaiful Amir menjelaskan kehadiran bulan Ramadan pada kali ini amat berbeza dirasakan kerana hubungan dirasakan lebih intim dalam kalangan masyarakat berlaku secara harmoni seolah-olah mereka sudah melupakan perang PRU14 baru-baru ini.


“Rakyat kembali hidup secara harmoni bagi mengambil keberkatan bulan Ramadan serta melupakan segala sengketa, kecacatan dan ketegangan antara rakyat semasa berlangsung PRU14 bulan lalu.


“Inilah hikmat Ramadan yang dapat menyatukan rakyat dan Pas kawasan Parit Buntar berharap senario ini akan berkekalan pada masa hadapan,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]