Keputusan Hishammuddin perlu dihormati

in Politik by


PASIR GUDANG – Keputusan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk tidak bertanding sebarang jawatan di peringkat pusat bagi sesi pemilihan kali ini, sangat memeranjatkan dan mendukacitakan.


Pengerusi Umno Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, bagaimanapun, keputusan Hishammuddin yang bertindak sedemikian kerana ingin mengambil tanggungjawab di atas kekalahan BN di semua peringkat terpaksa dihormati.


Menurutnya, malah Umno Johor juga menghormati keputusan Hishammuddin untuk menumpukan kepada kedudukannya di peringkat bahagian sahaja.


“Jadi Umno Johor kita menghormati pendirian yang telah dibuat, tapi pada masa sama kita mengalu-alukan dan gembira kerana bukan niat beliau untuk meninggalkan parti.


“Masih lagi ada bersama kita di Johor kerana beliau masih lagi akan menjadi Ketua Umno Bahagian Sembrong,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai keputusan Hishammuddin yang enggan bertanding sebarang jawatan tertinggi pada pemilihan akan datang.


Beliau ditemui media ketika hadir ke program penyampaian sumbangan kepada asnaf di Rumah Pangsa Seri Alam Tasek 64, di sini, hari ini.


Mohamed Khaled berkata, keputusan Hishammuddin akan membolehkan Naib Presiden Umno itu banyak peluang dan masa untuk memberi sumbangan dalam usaha memulihkan dan menguatkan parti khususnya di negeri ini.


Pada Jumaat lalu, Hishammuddin mengumumkan untuk tidak bertanding sebarang jawatan di peringkat pusat bagi sesi pemilihan kali ini.


Beliau akui sedar dan insaf dengan keputusan PRU14 yang memberi isyarat jelas bahawa parti tersebut memerlukan suatu perubahan pendekatan secara total.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]