Keputusan penyelewengan projek solar RM1.25b esok

in Nasional by


SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan akan mengumumkan keputusan berhubung isu penyelewengan pemberian kontrak perbekalan tenaga solar sekolah-sekolah di Sarawak esok.


Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, keputusan itu telah diambil kelmarin selepas menjalankan siasatan terperinci sejak minggu lalu.


“Saya maklum mengenai laporan oleh pihak media mengenai kemungkinan wujudnya penyelewengan dalam pemberian kontrak perbekalan tenaga solar kepada sekolah-sekolah di Sarawak.


“Saya telah menjalankan siasatan terperinci mengenai kes ini sejak minggu lalu dan pihak-pihak berkuasa yang berkaitan juga telah dimaklumkan. Satu keputusan tegas saya ambil pada Jumaat lalu dan keputusan ini akan saya umumkan secara rasmi esok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Sebuah portal sebelum ini mendakwa, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa meluluskan projek tanpa tender terbuka pemasangan bekalan tenaga solar untuk 369 sekolah di Sarawak bernilai RM1.25 bilion pada Januari tahun lalu.


Laporan itu turut mendedahkan, kakitangan Kementerian Pendidikan yang membangkitkan kebimbangan mengenai projek tersebut dipindahkan dan semua laporan polis dibuat mereka diabaikan pihak berkuasa sebelum PRU14 yang lalu.


Projek berkenaan sepatutnya disiapkan dalam tempoh 18 bulan berlanjutan sehingga tiga tahun dan sehingga kini tiada kerja-kerja pemasangan dibuat.


ARTIKEL BERKAITAN: Didakwa lulus projek solar RM1.25b tanpa tender terbuka


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]