Kerajaan tak ‘buang’ pelan tindakan masyarakat India

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (Harapan) akan memperhalusi Pelan Tindakan Masyarakat India (MIB) yang diperkenalkan oleh kerajaan terdahulu bagi memastikan kesejahteraan kaum India khususnya golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) di negara ini.


Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran berkata, kerajaan akan meneliti semula dan membuat penambahbaikan MIB supaya golongan sasaran iaitu kumpulan B40 menerima manfaat secara keseluruhannya.


“Tidak kisah siapa mengilhamkan idea ini…sama ada oleh MIC atau Umno. Kandungan terbaik dalam pelan itu akan diguna pakai untuk memperkasakan golongan ini,” katanya selepas merasmikan Sidang Kemuncak Keusahawanan Masyarakat India 2018,di di sini, hari ini.


MIB dilancarkan oleh bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pada April 2017 sebagai dokumen rasmi kerajaan untuk pembangunan kaum India bagi tempoh 10 tahun akan datang.


[ARTIKEL BERKAITAN: Skim pelaburan khas masyarakat India]


Di bawah pelan itu, sebanyak RM500 juta diperuntukkan bagi skim dana saham di bawah Permodalan Nasional Berhad (PNB) khusus untuk memupuk tabiat menabung bagi kuam India dalam golongan B40 itu.


Kulasegaran berkata, perincian lanjut berhubung MIB dan isu lain antaranya Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) dan Unit Pembangunan Sosio Ekonomi Masyarakat India (Sedic) akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas mengenai masyarakat India yang akan diadakan dalam tempoh dua minggu lagi.


Kira-kira 500 usahawan turut serta dalam sidang kemuncak tersebut yang bertujuan menjadi platform peluang perniagaan selain mempelajari selok-belok bidang keusahawanan yang semakin mencabar.


“Melalui acara ini, perniagaan yang diceburi oleh kaum India di negara ini perlu berkembang…mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk belia serta memberi inspirasi bagi mengembangkan kemahiran keusahawanan mereka,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]