Ketua Bahagian Umno Sabah diminta lepas jawatan

in Edisi Sabah Sarawak by


SANDAKAN – Ketua Bahagian Umno di Sabah yang kalah pada PRU14 diminta melepaskan jawatan mereka.


Ketua Pemuda Umno Batu Sapi, Khairul Firdaus Akhbar Khan berkata, kebanyakan Ketua Bahagian Umno yang kalah itu sudah memegang jawatan itu untuk beberapa penggal.


“Undurlah secara terhormat dan berilah peluang dan ruang supaya pelapis baru dapat dinaikkan dan menerajui bahagian Umno itu.


“Penting kepada Ketua Bahagian Umno di Sabah untuk menyayangi parti dari sayangi diri mereka sendiri. Jangan sanggup korbankan parti kerana mahu mempertahankan diri sendiri walaupun kita tahu mereka sudah susah diterima rakyat,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Berkelompok Pemuda Cawangan Umno Batu Sapi di sini, hari ini.


Antara ketua bahagian yang kalah pada PRU14 adalah Ketua Bahagian Umno Batu Sapi, Datuk Samsudin Yahya yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sekong, Ketua Umno Bahagian Kalabakan Datuk Ghapur Salleh (Parlimen Libaran) dan Ketua Umno Bahagian Silam Datuk Yusof Apdal (Dun Silam) dan Ketua Umno Bahagian Sipitang Datuk Sapawi Ahmad (Dun Sindumin).


Khairul Firdaus berkata, kekalahan BN di Sabah pada PRU14 merupakan satu isyarat jelas bahawa rakyat Sabah menolak Umno dan BN atas beberapa faktor.


Antaranya adalah Umno Sabah diterajui Tan Sri Musa Aman dilihat tidak lagi menjiwai dan memahami asprasi rakyat terutama anak muda.


Justeru, katanya, usaha mempersiapkan barisan pemimpin muda dan segar harus diberi keutamaan untuk menerajui Umno. – Bernama


Source: SH Edisi Sabah Sarawak

[featured-video-plus]