Khidmat ketua kampung ditamat 30 Jun

in Uncategorized by


CHEMOR – Kerajaan negeri mengambil keputusan menamatkan perkhidmatan ketua kampung sedia ada secara rasmi pada 30 Jun ini.


Exco Kerajaan Negeri, Asmuni Awi berkata, tugas ketua kampung dilanjutkan bagi memberi peluang mereka berkhidmat kepada masyarakat tidak seperti ahli majlis yang ditamatkan serta merta sebelum ini.


Katanya, ia akan menimbulkan kesukaran kepada penduduk kampung jika ketua kampung ditamatkan serta merta dan tidak ada pengganti.


“Saya menggunakan budi bicara sebagai Exco untuk menangguhkan penamatan mereka kerana tugas ketua kampung ini berterusan. Rakyat di peringkat bawah masih memerlukan ketua kampung untuk membantu mereka.


“Cadangan ini saya buat dalam mesyuarat Exco yang lepas dan ahli mesyuarat bersetuju mereka akan kekal sehingga hujung bulan ini,” katanya kepada pemberita, hari ini.


Beliau berkata demikian selepas ditemui menyampaikan sumbangan Aidilfitri di Rumah Amanah Tambun, di sini.


Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pelantikan ketua kampung baharu akan dibuat pada 1 Julai dan proses pemilihannya sedang berjalan.


Asmuni berkata, sebahagian besar akan ditukar dan bergantung kepada cadangan di peringkat pejabat penghulu, bahagian, parti dan sebagainya.


“Tugas mereka akan ditamatkan, sama ada mereka akan dipilih semula atau sebaliknya bergantung kepada pencalonan yang dibuat kawasan-kawasan dan yang bertanggungjawab ke atas kampung-kampung tersebut.


“Mungkin ada di kalangan mereka yang kekal kalau sekiranya mereka boleh bekerjasama dengan kerajaan yang ada,” katanya.


Asmuni berkata, ada dalam kalangan ketua kampung yang telah meletakkan jawatan walaupun kerajaan negeri tidak mengarahkan mereka berbuat demikian.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]