Klip video anggota MPK gaduh tersebar

in Edisi Selangor KL by


KLANG – Satu klip video memaparkan pergaduhan antara anggota Majlis Perbandaran Klang (MPK) bersama peniaga di Jalan Taiping mula tersebar di media sosial, sejak semalam.


Klip video berdurasi selama 0:46 saat itu menyaksikan suasana tegang antara anggota MPK bersama peniaga berkenaan sehingga berlakunya pergaduhan serta aksi berbalas tumbukan antara satu sama lain.


Difahamkan, punca kejadian tersebut dipercayai berlaku apabila penguatkuasa MPK terlibat dikatakan telah menegur peniaga terbabit yang beroperasi tanpa lesen di kawasan berkenaan.


Peniaga terbabit juga dipercayai menumpang lesen pihak lain dan keadaan itu menyebabkan penguatkuasa MPK terlibat berkeras untuk mengambil tindakan sehingga mencetuskan perang mulut serta aksi berbalas tumbukan terbabit.


Mengulas mengenai kejadian itu, Pertubuhan Kebajikan Insan Sejati Malaysia (Perkisma) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tersebut yang dilihat mampu merosakkan imej Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam menguruskan penguatkuasaan undang-undang.


Timbalan Presidennya, Mohd Afiq Mohd Tuniman berkata anggota penguatkuasa MPK seharusnya lebih profesional dalam mengendalikan kes sedemikian sebelum mengambil sebarang tindakan seperti mana yang termaktub di bawah Undang-Undang Kecil Kerajaan Tempatan.


“Saya percaya mereka telah dilatih berhubung mengendalikan perkara seperti ini dan secara teknikal, penguatkuasa tersebut telah melakukan tugas dengan baik kerana peniaga berkenaan dikatakan telah melakukan kesalahan.


“Namun berlaku provokasi di antara mereka sehingga mencetuskan kekecohan,” katanya.


Lebih menyedihkan, Mohd Afiq berkata kejadian tersebut juga berlaku pada bulan Ramadan di mana umat Islam sedang berlumba-lumba untuk mengerjakan ibadah masing-masing.


Selain itu, Mohd Afiq turut menggesa orang awam dan netizen agar tidak membuat sebarang spekulasi dan dapat membantu polis sekiranya mempunyai maklumat yang tepat mengenai kejadian itu.


“Saya juga yakin pihak MPK sendiri akan membuat siasatan di peringkat dalaman dan beberapa laporan polis juga telah dibuat.


“Apa pun, kita serahkan kepercayaan kepada polis dalam melakukan siasatan terperinci supaya tindakan undang-undang diambil,” katanya.


Selain itu, Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) turut mengecam tindakan pihak penguatkuasa MPK yang menggunakan kekerasan ke atas peniaga terlibat dalam insiden itu.


Pengerusinya, Halim Ishak berkata, anggota penguatkuasa terbabit memperlihatkan tindakan yang sangat tidak matang kerana bertindak mengikut emosi dan di luar kawalan diri, yang nyata tidak mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) digariskan MPK.


“MCCF yakin berlaku pelanggaran undang-undang oleh peniaga terbabit, namun sebagai penjawat awam negeri, penguatkuasa MPK perlu bertindak secara profesional dalam menangani masalah itu; dan bukannya menumbuk peniaga terbabit,” katanya.


Katanya, MCCF turut menggesa Yang Dipertua (YDP) MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menyiasat secara terperinci insiden tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya.


Dalam pada itu, menerusi satu kiriman Whatsapp kepada Sinar Harian, MPK memaklumkan bahawa pihaknya akan mengadakan satu sidang media esok bagi memberi penjelasan mengenai kejadian terbabit.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]