Kolej Komuniti, Politeknik Metro di Simpang Renggam

in Edisi Johor by


KLUANG – Kementerian Pendidikan akan mewujudkan sebuah Kolej Komuniti dan Politeknik Metro di kawasan Simpang Renggam khusus untuk warga parlimen tersebut.


Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, perancangan tersebut adalah untuk memberi peluang kepada anak muda tempatan melanjutkan pengajian tinggi dengan mudah selain memartabatkan pencapaian pendidikan mereka.


“Kolej Komuniti dan Politeknik Metro akan diwujudkan selewat-lewatnya tahun depan selepas beberapa perincian dimuktamadkan.


“Bagi Kolej Komuniti ia lebih mudah kerana tidak memerlukan pembinaan bangunan baharu sebaliknya bangunan rumah kedai sedia ada boleh digunakan bagi menempatkannya cuma bagi Politeknik Metro perlu perincian yang lain,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas meninjau kerja menaik taraf di Jalan Simpang Renggam-Johor Bahru, dekat Simpang Renggam, semalam.


Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata, beliau akan berbincang dengan pihak Kementerian Pendidikan agar ia akan dapat direalisasikan dalam masa terdekat.


Katanya, beliau mahu masyarakat di Simpang Renggam mempunyai akademik dan tahap kemahiran yang tinggi dalam sesuatu bidang.


“Bagi kolej komuniti kawasan telah dikenali pasti namun perlu perincian serta kos yang diperlukan bagi mewujudkannya.


“Kami harap warga Simpang Renggam dapat ambil peluang ini bagi meningkatkan tahap akademik dan tahap kemahiran,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]