KPDNKK rampas 145 tong gas

in Edisi by


KUALA PILAH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Pilah berjaya merampas 145 tong gas 14 kilogram dengan nilai rampasan RM15,515 di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.


Ketua Cawangan KPDNKK Kuala Pilah dan Jempol, Rohaimi Mohamed Zawawi berkata, rampasan itu dilakukan di kawasan industri Beting pada Mac lalu.


“Kes ini adalah antara 20 kes yang berjaya dilaksanakan KPDNKK bermula Januari hingga 8 Jun tahun ini.


“Bagi kes tertinggi membabitkan Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972 adalah sebanyak 11 kes melibatkan RM1,500 kompaun dikenakan kepada peniaga,” katanya.


Menurutnya, di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 sebanyak tujuh kes dikesan penguat kuasa KPDNKK dengan jumlah kompaun dikenakan sebanyak RM1,000.


“Masing-masing satu kes bagi AKB 1961 dan Akta Perlindungan Pengguna. Secara keseluruhan sebanyak 2,483 premis diperiksa dari Januari hingga 8 Jun di daerah Kuala Pilah dan Jempol,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas pemeriksaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Aidilfitri 2018 di Pasar Awam Kuala Pilah di sini, semalam.


Rohaimi berkata, pemeriksaan SKHMP itu diadakan dari 8 hingga 22 Jun seluruh negara dan sebanyak 70 premis sudah diperiksa namun tiada kompaun dikeluarkan setakat ini.


“Ini menunjukkan peniaga mematuhi peraturan ditetapkan. Bagaimanapun, sebanyak 18 jenis barang dikenal pasti bagi pelaksanaan skim ini antaranya ayam, telur ayam, kelapa, daging lembu, kentang dan ikan kembung.


“Tindakan tegas dikenakan kepada peniaga jual barang harga terkawal melebihi harga maksimum ditetapkan kerajaan. Selain itu, kami juga ambil tindakan kepada peniaga yang gagal meletakkan tanda harga khas warna merah jambu ke atas harga barangan terkawal,” katanya.


Menurutnya, anggota KPDNKK akan membuat pemantauan dari semasa ke semasa namun orang ramai yang mendapati peniaga tidak mematuhi peraturan boleh membuat aduan melalui talian bebas tol 03-8882 6088/6245 atau 03-80008000.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]