Mangsa pertama mercun di Melaka

in Edisi by


MELAKA TENGAH – Murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Parit Melana, Alor Gajah, Muhammad Haziq Hasrizam, 10, menjadi mangsa pertama kes mercun di Melaka, tahun ini.


Difahamkan, Muhammad Haziq, mengalami melecur pada bahagian muka dan dua jari pada tangan kanan akibat terkena percikan api daripada belerang yang dikeluarkan sendiri dari mercun bola.


Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang semalam, mangsa dikatakan sedang bermain sendirian di persekitaran rumah lalu menemui sebutir mercun bola yang belum digunakan lagi.


Menurut Haziq, dia bertindak mengeluarkan belerang dari dalam mercun berkenaan lalu membakarnya, namun percikan api menyambar bahagian mukanya serta sebahagian jari tangan kanan.


Bapanya, Hasrizam Hasan, 36, berkata, dia hanya mengetahui kejadian tersebut selepas diberitahu isteri tentang kecederaan yang dialami anak ketiga dari lima beradik itu.


“Saya terus membawanya ke Hospital Alor Gajah dan sebelum dia dirujuk ke Unit Melecur Hospital Melaka. Tapi, syukurlah keadaannya tak serius dan akan keluar wad hari ini,” katanya ketika menerima lawatan Adun kawasan Durian Tunggal, Mohd Sofi Abdul Wahab, hari ini.


Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan, A Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi berkata, pihaknya belum menerima laporan berhubung kejadian itu.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]