Nak tengok lemang, ketupat

in Edisi Utara by


PENDANG – Berasal dari Yunnan, China membuatkan dirinya sedikit kekok berada di samping rakan-rakan yang berbangsa Melayu di Maahad Tahfiz Darul Mustafa, Pendang.


Namun begitu, Mohd Ramadan, 15 atau nama sebenarnya Hya Ye berusaha mendekati kesemua pelajar sambil mempelajari bahasa Melayu.


Katanya, meskipun ibunya yang menetap di Pendang fasih berbahasa Melayu namun tidak dirinya.


“Saya tinggal di Yunnan bersama ayah dan baru lima bulan datang ke Malaysia untuk mempelajari ilmu agama,” katanya.


Katanya, keadaan di tahfiz Darul Mustafa sangat menyeronokkan apabila ramai orang ingin berkawan dengannya.


“Mula-mula saya datang saya tak ada kawan sebab tak pandai cakap Melayu tapi ada dua tiga kawan yang selalu ajar saya,” katanya.


Menurut Mohd Ramadan, dia sangat teruja menantikan hari raya di Malaysia ini bersama ibunya.


“Ibu saya telah berkahwin lain dan ini kali pertama saya bakal menyambut perayaan bersama ibu.


“Teruja sangat, harap semuanya berjalan lancar dan meriah.


“Ada orang bagi tahu saya di sini ada lemang dan ketupat, saya teruja nak tengok dua benda itu,” katanya.


Ditanya adakah dia akan pulang ke Yunnan atau terus menetap di sini, Mohd Ramadan berkata, dia tetap akan pulang ke Yunnan kerana abang dan ayahnya masih di sana.


“Yunnan adalah asal usul saya dan Malaysia adalah tempat saya mencari ilmu. Saya akan pulang selepas tamat belajar nanti,” jelasnya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]