Penantian lebih 23 tahun berakhir

in Edisi Utara by


KULIM – Penantian 187 bekas pekerja ladang estet Padang Meiha sejak lebih 23 tahun berakhir apabila menerima sebahagian pertama daripada tiga pampasan yang dituntut.


Wakil peguam dari Hakeem Arabi and Associate, S Dhanaraj berkata selepas pihaknya mengambil alih kes terbabit pada 2016, tiga tuntutan telah dilakukan iaitu pampasan penamatan kerja, kosongkan rumah dan membina rumah.


Menurutnya, antara tiga tuntutan itu pampasan penamatan kerja akibat ladang tersebut dipindah milik diluluskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 April lalu.


“Dua daripada tuntutan bekas pekerja ini iaitu pampasan pemberhentian pekerja dan perpindahan sudah pun diluluskan oleh mahkamah pada April lalu.


“Manakala pampasan bagi pembinaan rumah pula masih dalam proses perundangan yang membabitkan beberapa pihak.


“Untuk hari ini, kita hanya memberi pampasan pemberhentian pekerja dengan menyerahkan cek kepada 53 bekas pekerja yang sudahpun melengkapkan semua dokumen yang diperlukan dan selebihnya akan diproses oleh peguam-peguam kami dalam masa terdekat ini,”katanya selepas Majlis Penyerahan Cek Pampasan Untuk Bekas Pekerja Ladang Meiha di sini hari ini. 


Katanya, jumlah keseluruhan tiga pampasan dituntut yang akan diterima setiap seorang bekas pekerja ladang terbabit adalah antara RM1,500 hingga RM30,000 bergantung kepada tempoh perkhidmatan.


“Bagi pampasan perpindahan pula, ia akan dibayar dalam tempoh dua tahun dan dalam masa yang sama, memberi tempoh kepada penduduk untuk berpindah ke tempat lain,” katanya.


Terdahulu, kes bermula pada 1994 apabila pemilik asal estet Padang Meiha, Hap Seng Consolidated Bhd (EAC) menjual estet seluas 5,557 ekar yang bernilai RM115,878,492 kepada MBF Holdings Berhad dan 1995, satu perjanjian penyelesaian antara EAC dan MBF dipersetujui di mana RM7,055,838 dibayar oleh EAC kepada MBF untuk menyelesaikan pampasan ke atas pekerja ladang di situ.


Bagaimanapun, masalah mula timbul apabila anak syarikat yang dilantik MBF, Alamanda Development Sdn. Bhd diisytiharkan muflis dan pada 2011, seramai 187 bekas pekerja mengambil tindakan dengan memfailkan kes di Mahkamah Alor Setar kerana pihak Alamanda yang bersetuju untuk membina rumah dan membayar pampasan mungkir janji.


Kes tersebut berlarutan sehinggalah pihak Hakem Arabi and Associate mengambil alih kes tersebut pada 2016 dan memfailkan kes tersebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.


Secara keseluruhan, jumlah keseluruhan bayaran pampasan bagi pemberhentian pekerja adalah RM1.34juta sementara RM638,000 bagi perpindahan manakala RM4.6juta bagi pembinaan rumah yang dipertanggungjawabkan ke atas MBF.


Sementara itu, wakil penduduk, S Ramanathan, 60, berkata, dia sangat bersyukur dengan pampasan yang akhirnya diterima oleh bekas pekerja estet tersebut selepas begitu lama menunggu dan berjuang mendapatkannya melalui pelbagai cara.


“Saya sangat bersyukur selepas kami semua bersusah payah mendapatkan hak kami. Kami juga sedih kerana ada beberapa rakan kami yang tak sempat merasai apa yang kami dapat hari ini kerana sudah meninggal dunia.


“Sepanjang 23 tahun, dah macam-macam kami lalui termasuk rumah tak ada air dan elektrik, mogok dan sudah tentu naik turun pejabat peguam dan mahkamah.


“Kami sangat berterima kasih dengan pasukan peguam yang sanggup mengambil kes ini dan pihak Hindraff yang banyak membantu memberi jalan dan cadangan bagaimana hendak menyelesaikan kes ini,” katanya.

 


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]