Peniaga cendol jual songkok menjelang Aidilfitri

in Edisi Terengganu by


KUALA BERANG – Permintaan tinggi diterima daripada peminat songkok menjelang Aidilfitri mendorong seorang peniaga cendol, di sini, memilih pelengkap penampilan bersama baju Melayu itu sebagai sumber rezeki Ramadan sejak 15 tahun lalu.


Dek kerana itulah Zulfahmi Agus,62, daripada Kampung Kuala Por sanggup peruntukkan antara RM30,000 hingga RM40,000 setiap kali Ramadan sebagai modal bagi dapatkan bekalan songkok sebelum mula berniaga.


Berkongsi cerita, dia yang juga berniaga putu bambu di pasar malam Kuala Berang(kecuali Ramadan) berkata hasil jualan songkok dan kupiah dijualnya itu mampu memperoleh pendapatan kasar melebihi RM50,000.


“Selain bulan Ramadan, saya berniaga cendol dan putu bambu tetapi beralih kepada perniagaan songkok dan kupiah menjelang Aidilfitri kerana kedua-duanya ini antara yang mesti dicari orang ramai setiap kali Hari Raya.


“Songkok dan kupiah ini barang mudah jual kerana sesuai untuk semua peringkat umur. Malah, kelihatan penampilan seperti tidak lengkap sekiranya berbaju Melayu tetapi tidak bersongkok atau berkupiah pada pagi Syawal.


“Berikutan sambutan baik itulah terus mendorong saya untuk setia berniaga songkok menjelang Aidilfitri, kerana itulah tidak begitu kisah walaupun perlu pertaruhkan modal besar bagi dapatkan bekalan,” katanya kepada Sinar Harian.


Tambah Zulfahmi yang berniaga di tapak ekspo Aidilfitri di Bandar Kuala Berang, tren pembeli dilihat sama saban tahun iaitu akan meloncak tinggi bermula sekitar tempoh bermula tiga hari sebelum 1 Syawal.


“Sekarang ini masih boleh dianggap perlahan tetapi hari ini(semalam), Sabtu orang ramai kerana adanya pasar pagi Kuala Berang. Permintaan dijangka meningkat mendadak bermula Selasa atau Rabu ini.


“Tempoh kemuncak itu songkok terjual boleh cecah lebih 200 biji sehari. Harga songkok dijual antara RM20 hingga RM70 bergantung kepada saiz serta jenis dan songkok biasa lebih mendapat permintaan pembeli.


“Ada juga songkok lebih eksklusif dipanggil songkok tinggi dan songkok ini lebih lima sentimeter. Songkok jenis tinggi lebih sesuai untuk golongan dewasa,” ujarnya.


Sementara itu, Tinjauan Sinar Harian di Bandar Kuala Berang semalam mendapati orang ramai berasak-asak bagi melakukan persiapan Hari Raya Aidilfitri dan antara barangan jadi tumpuan selain pakaian ialah selipar serta sandal.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]