Perak tubuh jawatankuasa khas lantik ketua kampung, JKKK

in Uncategorized by


PARIT BUNTAR – Kerajaan Perak menubuhkan jawatankuasa teknikal peringkat negeri membabitkan semua parti dalam Pakatan Harapan untuk melantik ketua kampung dan Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).


Exco Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi negeri, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata, setiap parti perlu menghantar nama dua wakil untuk dipilih sebagai ketua kampung dan anggota JKKK.


“Saya harap rakyat jangan bimbang kerana ini merupakan tempoh peralihan kerajaan dahulu kepada kerajaan Pakatan Harapan,” katanya selepas melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2018 di sebuah pasar raya di sini, semalam.


Dalam pada itu, Hasnul berkata, peniaga pasar raya di Perak didapati menurunkan harga barangan keperluan susulan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar peratus sejak awal bulan ini.


Katanya, sejak pelaksanaan kadar baharu GST itu, pihaknya mendapati terdapat barangan yang dijual mengikut harga siling ditetapkan.


“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan membuat pemantauan dan mengambil tindakan terhadap peniaga yang tidak menurunkan harga barangan,” katanya. – Bernama


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]