Pesawat tinjau RM35 juta: Mavcom nafi terlibat

in Nasional by


SHAH ALAM – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menafikan penglibatan dengan kontroversi terbaru melibatkan pesawat tinjau, DA424M-NG Diamond bernilai RM35 juta di Sarawak.


Mavcom dalam satu kenyataan hari ini menegaskan laporan berita yang menyebut pihaknya sedang menjalankan ujian teknikal ke atas pesawat ringan khas tersebut adalah tidak benar.


“Kami merujuk kepada laporan media berkaitan laporan polis melibatkan Jabatan Perhutanan Sarawak atas dakwaan pembelian pesawat DA424M-NG Diamond bernilai RM35 juta yang menyebut sedang menjalani ujian teknikal oleh Mavcom. Kami ingin jelaskan ia tidak benar.


“Mavcom tidak pernah mempunyai sebarang komunikasi dengan Jabatan Perhutanan Sarawak dan kami tidak bertanggungjawab menjalankan ujian teknikal ke atas pesawat itu,” katanya.


Menurut kenyataan itu juga, Mavcom menegaskan urusan teknikal penerbangan tertakluk bawah Akta Penerbangan Awam 1969 yang di luar bidang kuasanya.


Semalam, PKR Sarawak membuat laporan polis terhadap kerajaan negeri kerana didakwa membeli pesawat tinjau terlalu mahal yang bernilai RM35 juta sedangkan harga pesawat itu dalam lingkungan RM3.5 juta hingga RM5 juta sahaja.


Jumaat lalu, Dayak Daily melaporkan, pemangku Pengarah Jabatan Perhutanan Sarawak Hamden Mohammad memberitahu pesawat tersebut sedang diuji Mavcom sejajar dengan prosedur operasi standard yang ketat dan berharap dapat menerima pesawat itu tidak lama lagi.


Sementara memetik laporan PressReader, bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyatakan kesediaannya untuk memberi kerjasama dengan pihak berkuasa berhubung kontroversi pembelian pesawat peninjau itu.


Menurut Wan Junaidi, maklumat diterimanya pesawat itu hanya bernilai sekitar RM3.5 juta sehingga RM6 juta.


Oktober lalu, Wan Junaidi mengumumkan Sarawak menjadi negeri pertama yang memiliki pesawat peninjau yang akan digunakan bagi memantau dan mengekang aktiviti curi balak di Sarawak.


Pesawat dua tempat duduk itu, yang boleh dikendalikan tanpa juruterbang secara kawalan jauh itu dikeluarkan firma aeroangkasa Austria, Diamond Aircraft Industries yang berpangkalan di Vienna.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]