‘Prestasi kerajaan cukup baik, memuaskan’

in Nasional by


SHAH ALAM- Prestasi kerajaan sepanjang 30 hari ini, boleh dikatakan cukup baik dan memuaskan.


Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata, perkara ini dapat dilihat menerusi usaha bersungguh-sungguh kerajaan dalam merealisasikan pelaksanaan janji manifesto mereka.


“Ada usaha yang bersungguh-sungguh ke arah merealisasikan janji yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan sesuai dengan aspirasi rakyat dan pengundi meskipun berdepan dengan realiti yang di luar dugaan mereka, dari segi beban kewangan negara setakat ini mereka tak mengecewakan harapan pengundi dan rakyat pada keseluruhannya.


“Dari segi itu kita boleh katakan mereka telah capai apa yang patut mereka capailah, walaupun berdepan dengan kekangan dan beberapa janji itu kelihatan agak lewat tetapi rakyat faham di bawah hambatan dan kekangan yang dihadapi, yang penting rakyat lihat barisan kepimpinan di bawah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sedang berusaha bersungguh-sungguh dan penuh komited,” katanya kepada Sinar Harian bagi mengulas prestasi pentadbiran kerajaan baharu.


Menurutnya, jika dilihat secara keseluruhan pentadbiran kepimpinan negara kini berada di landasan yang betul untuk membawa negara ke arah yang lebih baik.


“Kita kini di tingkat yang cukup baik dan memuaskan, ia sesuai dengan pengalaman Tun M, dan selagi beliau di dokong barisan Kabinet menteri yang juga dilihat cukup mempunyai dinamika dan berkeupayaan untuk mengeluarkan Malaysia daripada kemelut yang dihadapi sekarang,” katanya.


Justeru, tegasnya apa yang penting sekarang adalah keperluan rakyat untuk memberi sokongan dan memahami kekangan yang dihadapi oleh kerajaan kini.


[ ARTIKEL BERKAITAN: Terpaksa tangguh janji kerana beban hutang ]


Dalam pada itu ketika mengulas mengenai prestasi menteri kabinet pula, Jeniri berkata,  Mahathir mempunyai pasukan menteri yang mantap.


“Secara keseluruhan menteri kabinet berada di kedudukan yang tepat, dengan latar belakang yang bersih dan berintegriti yang tak di ragui, setakat ini mereka cemerlang,” katanya.


Sebelum ini Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan baharu di bawah pimpinan Mahathir berusaha sepenuhnya mengembalikan negara kepada landasan.


Oleh itu katanya, rakyat diharap dapat memahami keadaan ekonomi negara dibebani dengan hutang besar yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]