Rakyat kena hormat institusi raja

in Edisi Selangor KL by


SHAH ALAM – Adun Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai kepentingan  menghormati institusi raja.


Menurutnya, rakyat perlu mengetahui peranan institusi beraja yang bersikap berkecuali dalam politik namun memainkan peranan penting dalam memelihara kedudukan Melayu, Islam dan keamanan Malaysia.


Jelasnya, beliau meminta rakyat untuk tertib dan beradab apabila menyentuh perihal berkaitan institusi beraja dan menghormati Perlembagaan.


“Selepas PRU14 seharusnya rakyat berbaik dan bersama membina negara bukan bersikap syak wasangka dan mempersoalkan Perlembagaan.


“Peranan raja itu mengatasi konflik politik dan berjaya mengekalkan keharmonian dalam negara tanpa berpihak kepada mana-mana kumpulan maka rakyat perlu berlapang dada, dan menjaga percakapan,” katanya.


Dalam masa katanya, beliau berharap media juga dapat memainkan peranan dalam mendidik masyarakat dan mengelak menyentuh sensitiviti negara.


“Pastikan maklumat yang disebarkan benar dan tidak menimbulkan persepsi buruk institusi raja.


“Setiap pelaporan juga perlulah tidak mendahului keputusan diputuskan Majlis Raja-Raja,” ulasnya.


Sultan Sharafuddin Jumaat lalu menzahirkan rasa bimbang dengan perkembangan semasa terhadap segelintir pihak yang dilihat cuba mempengaruhi rakyat untuk membenci Raja-Raja Melayu.


Pada titahnya di Masjid Al-Falah Jalan Kebun Klang, baginda turut menzahirkan rasa dukacita terhadap sesetengah pihak termasuk orang Melayu yang secara terbuka menghina dan memperlekeh institusi raja.


Mohd Fakhrulrazi berkata, situasi tersebut perlu dicegah melalui penguatkuasaan undang-undang bagi mengelak situasi tidak terkawal.


“Saya harap pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dapat memainkan peranan mengambil tindakan tegas kepada pelaku.


“Jika dibiarkan berterusan dikhuatiri boleh menimbulkan fitnah dan hasutan serta kacau ganggu dalam keharmonian negara,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]