Sambut baik isytihar harta: Penganalisis

in Nasional by


SHAH ALAM – Tindakan kerajaan yang mahukan menteri dan setiausaha politik mengisytiharkan harta amat dialu-alukan kerana sebelum ini tiada peruntukan undang-undang yang memerlukan mereka melakukannya.


Profesor Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, kita belum ada undang-undang berkaitan itu untuk ahli kabinet dan pegawai-pegawai lantikan politik.


Sebaliknya, beliau berkata, peruntukan undang-undang negara hanyalah termaktub kepada penjawat awam.


“Pada pandangan saya, ia menekankan integriti dan amalan ketelusan tertinggi. Jadi, ia satu langkah yang seharusnya nanti diperuntukkan undang-undang.


“Perisytiharan harta kepada perdana menteri dan tidak kepada badan penguatkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ini juga menarik sebab terpulang kepada perdana menteri untuk mengambil tindakan dalaman sebelum lapor kepada SPRM misalnya,” katanya kepada Sinar Harian.


Nik Ahmad Kamal berpandangan, setelah pengisytiharan dibuat perlu mempunyai tindakan selanjutnya untuk verifikasi maklumat yang diberi sebuah badan bebas seperti SPRM.


Katanya, baharulah ia berkesan dan isu yang sama berlaku dalam pengisytiharan harta penjawat awam.


“Setelah pengisytiharan disahkan ketua jabatan, ketua jabatan lapor kepada ketua setiausaha negara, kemudian difailkan.


“Tapi tiada langkah susulan untuk verifikasi semua maklumat tentang harta tersebut. Jadi, pengisytiharan harta hanya atas kertas sahaja,” katanya.


Beliau berkata, pada masa yang sama tidak boleh menafikan terdapat tindakan disiplin dan tindakan undang-undang SPRM dalam kes-kes khusus setelah isytihar harta oleh penjawat awam.


“Tetapi apa yang kita mahu ialah tindakan susulan verifikasi itu ialah sebahagian dari prosedur operasi standard (SOP) polisi ini.


“Jadi isytihar harta menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik perlu melalui proses verifikasi setelah isytihar. Kemudian, baru siasatan boleh dijalankan,” katanya.


Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta anggota pentadbiran termasuk menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik mengisytiharkan harta masing-masing.


Beliau berkata demikian ketika mengumumkan maklumat yang diterimanya tidak akan disembunyikan, sebaliknya akan turut disampaikan kepada agensi bertanggungjawab berkenaan pencegahan rasuah.

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]