Tiada amaran, terus kompaun

in Uncategorized by


TAPAH – Tiada kompromi kepada mana-mana peniaga didapati melakukan sebarang kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga 1946 dan juga ingkar terhadap Skim Kawalan Harga (SKM) musim perayaan Hari Raya Puasa 2018  ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dilancarkan pada 8 hingga 22 Jun ini.


Ketua Cawangan KPDNKK Daerah Batang Padang, Mohd Ziyad Ismail berkata, selain itu juga, pihaknya akan terus mengenakan kompaun kepada peniaga tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihaknya.


Katanya, tiada lagi pendekatan amaran kepada peniaga sebaliknya tindakan kompaun terus diberikan bagi menjaga kepentingan pengguna khususnya.


“Setakat ini, pemeriksaan dibuat mendapati peniaga di daerah ini mematuhi penandaan harga yang ditetapkan dalam SKM kali ini dan akan memastikan harga barangan yang di bawah kawalan SKM akan sentiasa dipantau walaupun pada musim perayaan.


“Walaupun pada musim perayaan, anggota KPDNKK akan turun dan memantau harga–harga barangan kawalan bagi memastikan mereka (peniaga) mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.


Mohd Ziyad berkata, pemeriksaan akan dijalankan secara berterusan di seluruh daerah bagi memastikan peniaga sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan dan sekali gus mengekang penyelewengan harga di kalangan peniaga.


Katanya, peniaga diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditentukan  oleh kerajaan selain meletakkan  tanda harga khas berwarna merah jambu ke atas barangan terkawal bagi membezakan dengan barangan lain.


Namun katanya, peniaga digalakkan untuk menjual barangan tersebut lebih rendah daripada harga maksimum sekiranya harga yang diperolehi adalah lebih rendah.


Menurutnya, peniaga yang menjual barangan kawalan di bawah harga yang ditetapkan  dalam SKM  turut memberikan kelebihan kepada pengguna itu sendiri  boleh memilih barang lebih murah dan berkualiti.


Beliau turut memberi amaran bahawa KPDNKK tidak akan berkompromi dengan peniaga didapati melakukan sebarang kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 sepanjang skim ini berkuatkuasa.


Beliau berkata, pegawai penguat kuasa dan pegawai pemantau harga KPDNKK akan berada di lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah bagi menjalankan pemeriksaan dan pemantauan untuk usaha melindungi pengguna daripada aktiviti pengambilan keuntungan yang berlebihan oleh peniaga-peniaga tidak beretika semasa musim perayaan.


“Oleh yang demikian, kerjasama pengguna diperlukan untuk memaklumkan kepada pihak kementerian mengenai penyelewengan harga di kawasan mereka di talian bebas tol 1-800-886-800 atau melalui khidmat pesan ringkas (SMS) 32255,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]