Tun Mahathir akan lindungi kepentingan Melayu

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (Harapan) di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad akan terus melindungi kepentingan orang Melayu dan bumiputera di samping menjaga kebajikan kumpulan marginal di negara ini.


“Rakyat daripada pelbagai kaum sama ada Melayu, Cina, India serta warga Sabah dan Sarawak, mengundi kerajaan baharu, jadi kami harus bersikap adil kepada mereka,” kata bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, hari ini.


“Usaha menangani isu dan pembaharuan berkaitan dengan pengurusan ekonomi dan kewangan negara tidak akan menjejaskan mana-mana kumpulan seperti termaktub di bawah perlembagaan,” kata Daim yang mengetuai Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) yang ditubuhkan kerajaan Harapan.


“Keseluruhan idea CEP yang terdiri daripada individu terkemuka, ditugaskan untuk menasihati kerajaan mengenai isu-isu ekonomi dan kewangan “untuk memastikan keadilan bagi semua”.


“Kami akan mempertahankan dan menegakkan perlembagaan,” katanya.


Majlis itu ditubuhkan untuk menasihati kerajaan baharu PH bagi mencapai janji 100 hari kerajaan PH kepada rakyat.


Selain Daim, Majlis itu turut dianggotai bekas  Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Hassan Merican, jutawan Tan Sri Robert Kuok dan ahli ekonomi ternama Dr Jomo Kwame Sundaram.


Daim berkata isunya sekarang bukan menjamin kesaksamaan tetapi sebaliknya menangani isu ‘ketidaksamaan’ yang ketara di bawah pentadbiran terdahulu.


“Terdapat banyak ketidaksamaan dalam kalangan orang Melayu kerana kronisme dan kami tidak memihak kepada syarikat kroni UMNO manakala kaum India juga terpinggir,” katanya.


Beliau juga berkata tidak wajar untuk membuat tanggapan kaum Cina bandar golongan kaya kerana ramai antara mereka yang ikhtiar untuk hidup kerana kenaikan kos sara hidup.


“Apabila anda menangani ketidaksamaan, semua orang akan berpuas hati,” katanya dan menambah peranan kerajaan adalah untuk berlaku adil kepada semua dan menjaga kebajikan rakyat.


“Kami perlu menjaga kebajikan rakyat miskin iaitu Melayu, Cina, India dan kaum yang lain di Sabah dan Sarawak. Rakyat yang kaya boleh menjaga diri mereka sendiri,” katanya.- Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]