Usahawan Cina bantu bina surau

in Edisi by


KUALA NERANG –  Hasrat Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) untuk membina surau di Sekolah Kebangsaan Toh Puan Sharifah Hanifah mendapat perhatian ahli perniagaan dari Kuala Nerang.


Ahli perniagaan, Ong Keen Tong berkata, beliau sungguh simpati dengan pelajar sekolah itu yang terpaksa menunaikan solat di dalam kelas dengan keadaan tidak selesa.


Katanya, sebagai seorang bapa kepada tiga anak yang masih bersekolah beliau mahu menghulurkan sumbangan kepada pihak PIBG bagi membina surau di sekolah itu.


“Walaupun saya bukan Islam dan Melayu tetapi tetap tersentuh dengan keadaan pelajar itu yang mahukan keselesaan terutamanya semasa melakukan amal ibadat. Sebagai rakyat Malaysia adalah menjadi tanggungjawab bagi membantu mereka yang memerlukan bantuan .


“Melalui sumbangan yang tidak seberapa ini diharap akan ada lagi ahli perniagaan dan  orang ramai yang turut menyumbangkan kepada PIBG bagi membina surau di sekolah ini.


“Paling menarik pelajar di sekolah ini banyak didedahkan dengan agama dan saya berharap melalui  agama dapat mendidik mereka menjadi pelajar yang cemerlang,” katanya.


Sementara itu, Guru Besar, Puzil Othman berkata, pihaknya sangat berterima kasih kepada usahawan itu yang sanggup menghulurkan sumbangan kepada pihaknya bagi membina surau.


Katanya, pihaknya berharap akan lebih ramai lagi orang ramai dan usahawan dapat menghulurkan sumbangan bagi membina surau itu.


Semalam Sinar Harian melaporkan mengenai PIBG SKTPSH yang memohon bantuan orang ramai bagi membina surau untuk kemudahan pelajarnya bagi aktiviti keagamaan.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]