Bersatu Kemaman akan buka 45 cawangan

in Edisi Terengganu by


KEMAMAN – Bersatu akan membuka 45 cawangan parti itu di seluruh Parlimen Kemaman selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.


Ketua Bersatu Bahagian Kemaman, Datuk Seri Wan Marzuki Wan Sembok berkata, jumlah cawangan yang akan ditubuhkan itu berdasarkan jumlah Pusat Daerah Mengundi (PDM) sedia ada.


Menurutnya, secara dasarnya ketua-ketua cawangan sudah dikenal pasti dan selepas hari raya nanti setiap cawangan akan memiliki keanggotaan sendiri meliputi 20 barisan jawatankuasa.


“Kita telah mengadakan mesyuarat ketua-ketua bahagian di Kuala Terengganu jadi kita telah dapat kelulusan daripada pucuk pimpinan untuk membuka cawangan-cawangan melalui PDM sedia ada.


“Keseluruhannya 45 cawangan akan dibuka di Parlimen Kemaman meliputi empat Dun dari Kemasik, Kijal, Cukai dan Air Putih,” katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Bersatu Bahagian P040 Kemaman di Residence Inn Cherating, malam tadi.


Majlis itu yang menyaksikan seramai 350 anak yatim dari seluruh sekolah rendah di Kemaman menerima sumbangan turut dihadiri Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.


Wan Marzuki berkata, ahli Bersatu Bahagian Kemaman ketika ini sudah mencapai 4,500 orang dan pihaknya menyasarkan jumlah itu meningkat kepada 50,000 orang di semua 45 cawangan sehingga akhir tahun ini.


Ditanya mengenai kesediaan Bersatu Bahagian Kemaman menerima ahli baharu dari Umno, beliau berkata, seperti yang diputuskan pucuk pimpinan parti, sesiapa juga termasuk ahli Umno boleh menyertai Bersatu.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]