Buat HSR, MRT 3 dahulu bukan buat kereta nasional

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kesal dengan tindakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang sanggup mengetepikan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dan Projek Transit Aliran Massa (MRT) 3, sebaliknya merancang memperkenalkan kereta nasional baharu.


Menerusi Facebooknya, Najib berkata, kerajaan Pakatan Harapan (Harapan) perlu meneruskan projek pengangkutan awam seperti HSR dan MRT 3 dan bukannya memulakan syarikat kereta nasional.


Kerajaan juga tidak harus melaksanakan langkah perlindungan yang hanya akan membebankan rakyat dengan harga kereta dan kos pembiayaan yang lebih tinggi.


“Sepanjang saya menjadi Perdana Menteri, saya telah membuat keutamaan untuk mengurangkan harga kereta secara beransur-ansur termasuk pengurangan cukai dan memperkenalkan insentif semasa memperluaskan projek pengangkutan awam,” katanya.


Beliau berkata, hasilnya harga kereta pada masa ini lebih rendah berbanding sebelumnya dan penggunaan pengangkutan awam juga meningkat.


“Jangan batalkan projek pengangkutan awam hanya kerana saya memulakannya dan kembali membuat projek yang semata-mata untuk kebanggaan negara dan akhirnya akan menyusahkan rakyat,” katanya.


Bercakap pada Persidangan Nikkei ke-24 di Jepun, Dr Mahathir mengatakan bahawa Proton bukan lagi sebuah kereta kebangsaan Malaysia kerana kepentingan besar dalam syarikat kini dimiliki oleh Zhejiang Geely Holding Group dari China.


“Cita-cita kami adalah untuk membuat kereta nasional dengan kerjasama negara-negara lain di rantau ini,” katanya.


[ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia bakal ada kereta nasional baharu: Tun M]


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]