Empat penjual ayam kena kompaun

in Edisi Terengganu by


JERTIH – Sebanyak 12 peniaga di negeri ini dikompaun kerana pelbagai kesalahan membabitkan barangan terkawal sejak 8 Jun hingga hari ini .


Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Terengganu, Zulfamy Mat Udi berkata, jumlah itu termasuk lima kes di pasar basah Kuala Berang, Hulu Terengganu yang diambil tindakan semalam.


Menurutnya, empat daripada lima peniaga terbabit dikesan menjual ayam standard melebihi harga maksimun tidak melebihi RM7.50 sekilogram manakala bagi ayam super RM8.40.


“Namun KPNDKK mendapati peniaga terbabit menjual ayam standard dengan harga antara RM7.80 hingga RM9.50 sekilogram sementara ayam super dijual pada harga RM9.50,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai Pemeriksaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2018 peringkat daerah Besut di sebuah pasaraya di bandar Jertih semalam.


Hadir sama Ketua Cawangan KPDNKK Cawangan Besut, Abdul Razak Yahaya.


Zulfamy berkata, manakala baki satu kes lagi melibatkan kerana tidak meletakkan tanda harga merah jambu pada barang kawalan.


Menurutnya, mereka melakukan kesalahan di bawah Perintah 2(1) Perintah Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (Penandaan Harga Barangan Harga Terkawal ) SKHMP 2011.


Zulfamy berkata lagi, sebanyak tujuh kes lain yang direkodkan dalam tempoh sama adalah kesalahan tidak mempamerkan senarai harga warna merah jambu pada harga barangan kawalan di Dungun.


Menurutnya, jumlah kompuan yang dikenakan bagi semua 12 kes tersebut adalah sebanyak RM2,400


“Kita juga telah menetapkan harga siling barang kawalan termasuk harga ayam kepada pemborong dan bagi kes peruncit  menjual ayam melebihi harga siling kita akan menyiasat berapa pemborong jual,” katanya.


Kata beliau lagi, pihaknya memberi amaran keras kepada peniaga supaya mematuhi semua harga kawalan yang telah ditetapkan untuk mengelak dikenakan tindakan.


Menurutnya, pada tahun lepas  sebanyak 59 peniaga telah diambil tindakan oleh pihaknya di seluruh negeri kerana tidak mematuhi skim kawalan harga perayaan dengan daerah Besut mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 40 kes daripada keseluruhan kes tersebut.


“Bagi memastikan skim kawalan harga ini dipatuhui, anggotanya di seluruh negeri akan sentiasa memantau kawalan harga tersebut dan pematuhan tersebut sepanjang skim kawalan harga sempena musim perayaan ini dilaksanakan.


Sementara itu, operasi semalam pihaknya  turut melakukan pemantaun pemborong tepung (GMT) dan minyak masak di dua syarikat pemborong di Jertih dan selain pemeriksaan di pasar basar Jertih.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]