Had laju turun, kurang kadar kemalangan: Lam Thye

in Nasional by


SHAH ALAM – Usaha kerajaan menurunkan had laju di jalan persekutuan dan negeri sempena sambutan Aidilfitri ini dilihat mampu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.


Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kenderaan bertali arus setiap kali musim perayaan memandangkan ramai yang pulang ke kampung halaman masing-masing.


“Pengurangan had laju ini adalah penting dan perlu dipatuhi termasuk peraturan-peraturan keselamatan jalan raya,” katanya.


Menurutnya, sikap pemandu menjadi antara faktor utama yang memainkan peranan dalam mengurangkan perkara tidak diingini berlaku supaya selamat sampai ke destinasi dituju.


“Diri sendiri menjadi kuasa utama dengan mengamalkan sikap berhemah ketika memandu, patuhi peraturan jalan raya dan pandu cermat supaya selamat di jalan raya.


“Bila berada di jalan raya, berhati-hatilah dan ambil peduli dengan keadaan sekeliling untuk mengelakkan berlakunya kemalangan jalan raya,” katanya.


Sebelum ini, Kementerian Kerja Raya mengeluarkan kenyataan, had laju di jalan persekutuan dan negeri diturunkan, masing-masing daripada 90 kilometer sejam (km/j) kepada 80 km/j dan dari 80 km/j kepada 70 km/j berkuatkuasa 8 hingga 22 Jun ini, menerusi Operasi Bersepadu (Ops Bersepadu).


Ia dilakukan sempena Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan sempena sambutan Aidilfitri.


Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, penurunan had laju itu dibuat memandangkan kebanyakan kemalangan berlaku di jalan persekutuan dan negeri.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]