Hujah cybertrooper BN tak bernas punca kalah PRU14

in Nasional by


SHAH ALAM – Faktor kekalahan BN pada PRU14 bukan disebabkan kekurangan bilangan cybertrooper tetapi kebanyakan hujah yang diberikan mudah ditangkis pihak lawan.


Penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata, cybertrooper ramai tetapi antara faktor kekalahan BN disebabkan jawapan atau hujah yang diberikan cybertrooper BN tidak cekap.


Menurutnya, bilangan cybertrooper BN tidak mencukupi bukanlah isu, cumanya mereka menjawab tanpa hujah-hujah yang bernas berbanding cybertrooper Pakatan Harapan (Harapan).


“Perlu diingat Harapan mempunyai empat parti di mana tiap-tiap parti mempunyai cybertrooper tersendiri, sedangkan BN hanya ada Umno sahaja yang lain hanya parti komponen yang tidak memberi hujah sangat melainkan Umno.


“Bagi saya tidak timbul soal rendah diri atau tidak mahu menunjuk-nunjuk tetapi netizen hari ini boleh menilai hujah-hujah yang diberi kedua-dua pihak,” katanya kepada Sinar Harian.


Katanya, dalam Harapan pula terdapat cybertrooper bebas di mana bergerak sendiri yang turut terdiri daripada bekas-bekas ahli politik dan orang veteran yang memihak kepada cybertrooper Harapan.


“Saya anggap mereka adalah cybertrooper yang hebat apabila dapat menyumbang idea dan kadang-kala memberi pertambahan idea yang lebih baik dalam membela hujah walaupun dibelasah pihak lawan BN, tetapi cybertrooper bebas ini akan membela mereka.


“Jadi memang saya nampak habis begitu sahaja, saya lihat perang cybertrooper ini sangat menarik, dan lebih baik dari perang fizikal bergaduh, bertumbuk dan sebagainya,” katanya.


Beliau turut berpendapat salah satu faktor utama kekalahan atau kemerosotan BN sejak tahun 1999 adalah media sosial.


Katanya, beberapa pilihan raya sebelum ini BN kurang menitikberatkan kepada saranan penggunaan media sosial itu termasuklah penggunaan pesanan khidmat ringkas (SMS).


“Zaman itu kita lihat ia dipelopori penyokong-penyokong Anwar Ibrahim di mana sehinggalah PRU14 masih nampak Harapan menjuarai media sosial itu termasuklah penggunaan aplikasi WhatsApp dan Facebook.


“Mereka rasa ada unsur kepuasan apabila pandangan mereka diambil kira dan dikeluarkan di media sosial,” katanya.


Sebelum ini, Ketua Puteri Umno Bahagian Tenggara, Nur Adibah Sapar berkata, kekurangan cybertrooper yang mengetengahkan segala program dilaksanakan merupakan antara faktor kekalahan BN pada PRU14.


Katanya, kekalahan yang berlaku juga bukan kerana BN tidak mendekati masyarakat tetapi mungkin kurang kuat dari segi cybertrooper di mana banyak kerja kemasyarakatan dilakukan tanpa menghebahkan kepada masyarakat kerana sikap rendah diri tidak mahu menunjuk-nunjuk.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]