Individu lompat parti tidak boleh dipercayai

in Politik by


GUA MUSANG – Individu yang bertindak meninggalkan parti kerana enggan berdepan ujian atau kekalahan adalah individu yang tidak boleh dipercayai.


Demikian tegas Adun Galas, Mohd Syahbuddin Hashim mengulas kenyataan Ketua Bahagian Bersatu Gua Musang, Ab Wahab Yunus yang mendakwa 1,000 ahli Umno mahu menyertai parti berkenaan, baru-baru ini.


Menurut Syahbuddin, golongan berkenaan (keluar parti) tidak akan ke mana kerana penyertaan mereka tidak akan mendapat sepenuh kepercayaan daripada parti yang baru disertai.


“Kita tidak boleh menghalang mana-mana individu yang mahu berpindah parti kerana negara kita mengamalkan sistem demokrasi.


“Namun saya melihat, sewaktu senang inilah parti mereka. Bila parti diuji dan memerlukan pejuang sebenar, mereka lari sedangkan di Gua Musang tiada masalah kepimpinan.


“Mereka tidak akan ke mana kerana saya yakin, parti yang mereka sertai akan waswas dan sukar untuk dapat kepercayaan penuh kerana perjuangan mereka tidak nyata,” katanya kepada Sinar Harian.


Syahbuddin berkata, beliau juga tidak menolak tindakan itu diambil kerana ingin menjaga periuk nasi sendiri mengikut keadaan semasa.


“Saya juga yakin, biarpun mereka berada di pihak sana (Bersatu), namun hati dan jiwa masih pada Umno,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]