JKKP Kedah terus pantau tapak pembinaan

in Edisi by


ALOR SETAR – Walaupun musim perayaan sudah tiba, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Kedah berjanji mengambil serius terhadap pematuhan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di tapak pembinaan di seluruh negeri.


Pengarah JKKP Kedah, Hairozie Asri berkata, pihaknya tetap menjalankan pemeriksaan di tapak binaan bagi memastikan tahap pematuhan perundangan dan tahap keberkesanan langkah pencegahan diambil oleh pihak kontraktor.


Katanya, JKKP Kedah menjalankan 229 pemeriksaan di tapak bina di Kedah. Daripada jumlah itu, JKKP mengeluarkan 27 surat arahan, 86 notis pembaikan dan 143 notis larangan. Hanya satu kes kemalangan maut yang berlaku di tapak pembinaan sehingga Mei lalu.


“Sebanyak 18 kes kompaun dikenakan melibatkan denda RM28,500 dan satu kes pendakwaan dengan saman mahkamah sebanyak RM2,000 terhadap kontraktor-kontraktor yang terbabit dengan pelbagai kesalahan,” katanya kepada media selepas menjalankan Operasi Tapak Bina dengan mengadakan lawatan mengejut ke tapak bina di sekitar Alor Setar.


Siang tadi, JKKP Kedah mengadakan lawatan mengejut ke atas 16 tapak  melibatkan 38 orang pegawai di sekitar Alor Setar. Ia adalah Operasi Khas Cegah Jatuh di Industri Pembinaan dijalankan serentak di seluruh negeri.


Daripada operasi serentak di seluruh negara itu, JKKP Kedah mengeluarkan sebanyak 38 notis pembaikan, 32 notis larangan. Ia termasuk  tiga perancah (Scaffold) disita di tapak bina, 12 kompaun dicadangkan untuk kertas siasatan dan satu kes mahkamah.


Operasi itu memberi tumpuan kepada tapak pembinaan yang melibatkan kerja-kerja di tempat tinggi dan kerja mengangkat (lifting) diadakan selepas satu perjumpaan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran bersama Ketua Pengarah JKKP Malaysia, pada 7 Jun lalu, di Putrajaya.


Hasil daripada pertemuan tersebut, Kulasegaran mengeluarkan arahan semua pejabat JKKP Negeri mengadakan operasi penguatkuasaan KKP di tapak pembinaan seluruh negara bersama media.


Tambah Hairozie, projek pembinaan boleh mengundang pelbagai risiko kepada pekerja dan orang awam dan harta benda.


“Pada tahun 2017, jumlah tapak bina yang aktif di Kedah adalah sebanyak 363 tapak dan jumlah meningkat kepada 412 tapak sehingga Mei lalu. Jumlah kemalangan tidak hilang upaya kekal di tapak pembinaan adalah sebanyak lima kes. Kejadian berbahaya adalah sebanyak dua kes dan kemalangan maut adalah empat kes.


“Pegawai JKKP akan mengambil tindakan sekiranya kawalan tidak memuaskan mengikut kehendak akta, peraturan, tata amalan industri  dan piawaian KKP,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]