Majikan perlu main peranan keselamatan di tapak binaan

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Peranan serta tanggungjawab majikan di tapak binaan lebih diperlukan sekiranya mahu membantu Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menyelesaikan permasalahan isu kemalangan di tempat kerja.


Pengarah JKKP Johor, Ir Saiful Azhar Mohd Said berkata, amalan majikan lebih gemar menyerahkan seluruh tugas tersebut kepada pegawai keselamatan dan kesihatan (SH) dan JKKP juga adalah tidak relevan memandangkan pihak mereka mempunyai kuasa kerana lebih terikat dengan perundangan yang ada.


“Apa yang saya cuba nyatakan di sini, kerajaan menerusi JKKP sentiasa mencuba sebaik mungkin untuk memastikan persekitaran tempat kerja sentiasa berada di tahap terbaik, tetapi sekiranya tiada tindak balas dan usaha sendiri, mustahil perkara itu nak berlaku.


“Jadi kita memang perlukan komitmen semua pihak, khususnya mereka di tapak bina, ambil tindakan segera dan cuba nyatakan masalah keselamatan dan kesihatan di tempat kerja itu disebabkan apa? atau akui permasalahan berpunca daripada pihak mereka sendiri, tidak perlu disembunyikan apa-apa,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui semasa menghadiri Operasi Khas Penguatkuasaan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Tapak Binaan, di Bukit Senyum, di sini, hari ini.


Saiful berkata, kerjasama erat daripada semua pihak terlibat juga amat diperlukan memandangkan tenaga terhad yang dihadapi JKKP kini tidak mampu untuk memantau pembangunan untuk setiap tapak binaan di negeri ini.


“Langkah kawasan serta operasi pemeriksaan ini mungkin menjadi salah satu cara untuk kita mengurangkan segala permasalahan di tempat kerja.


“Namun begitu, kekurangan tenaga kerja dengan pegawai JKKP khusus bagi inisiatif ini hanya 10 orang mungkin tidak mencukupi tambahan pula kita mempunyai sehingga 655 tapak bina yang berdaftar,” katanya.


Dalam masa sama beliau berkata, sasaran sebanyak 50 peratus pengurangan kes kematian akibat kemalangan di tempat kerja telah ditetapkan pada tahun ini dan perkara itu diyakini dapat dilaksanakan sekiranya pihak berkenaan memainkan peranan sebaik mungkin.


“Antara kerisauan yang kita dapat lihat, apabila tengok pada 2017 lalu, kita telah menerima sebanyak 64 kemalangan di tapak bina yang mana 27 daripadanya adalah membabitkan kematian.


“Oleh itu, sasaran sebanyak 50 peratus pengurangan kes kematian telah ditetapkan untuk tahun ini. Tetapi setakat bulan Jun ini sahaja, sebanyak 11 kes telah dilaporkan. Jadi berbaki beberapa bulan ini, kami berharap perkara ini (kemalangan) dapat dielakkan, dan semestinya kerjasama semua pihak adalah amat diperlukan,” katanya.


Untuk rekod, setakat Mei lalu, JKKP Johor telah mengeluarkan 169 surat arahan, 467 notis dengan jumlah kompaun dikenakan sebanyak RM114,000, manakala jumlah saman di mahkamah sebanyak RM114,500 terhadap kontraktor membabitkan pelbagai kesalahan.

 


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]