
KUALA TERENGGANU – Darah dan daging ular laut boleh menjadikan badan panas yang sekaligus dapat menambahkan tenaga luar biasa bagi nelayan warga asing.
Itulah antara rahsia ketahanan fizikal yang membolehkan nelayan asing terutama warga Vietnam sanggup keluar beribu batu dan berada berbulan-bulan di atas kapal.
Rahsia tersebut berjaya dibongkar Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Terengganu selepas siasatan dijalankan berkait kebanjiran nelayan warga asing yang menceroboh perairan negara sejak kebelakangan ini.
Pengarahnya, Kepten Maritim Rahim Ramli berkata, siasatan awal mendapati kebanjiran nelayan warga asing yang menceroboh perairan negara dilihat amat berkait rapat dengan ketahanan fizikal mereka.
Jelas Rahim, nelayan asing khasnya warga Vietnam percaya darah dan daging ular laut dapat menjadikan badan mereka panas dan seterusnya menambahkan tenaga untuk mereka bekerja.
“Berpuluh puluh ekor ular laut yang ditangkap atau yang terperangkap di dalam pukat akan disimpan sebagai bekalan makanan mereka.
“Biasanya, darah ular laut akan dijadikan minuman manakala daging ular pula akan dibuat sup, malah mereka pernah memberitahu daging ular laut lagi sedap berbanding ayam.
“Mereka juga memaklumkan dengan memakan daging ular laut lah, antara penyebab boleh bertahan begitu lama di laut,” katanya.
Sementara itu, menurut Rahim, kajian mendapati ular laut banyak dan mudah didapati di perairan di Laut Cina Selatan,Lautan Hindi dan Pasifik.
“Sebenarnya ular laut dikategori antara spesis ular yang paling berbisa malah bisa ular laut lebih kuat daripada bisa ular tedung,” katanya.
Source: SH Edisi Terengganu
[featured-video-plus]