Mini Zoo Taman Teruntum dikenakan caj mulai 1 Julai

in Edisi by


KUANTAN – Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) mengenakan kadar caj RM1 hingga RM2 kepada orang ramai yang mengunjungi Mini Zoo Taman Teruntum bermula 1 Julai ini.


Kadar caj tersebut akan dikenakan kepada pengunjung dewasa RM2, kanak-kanak pula RM1, manakala bagi OKU dan bayi pula adalah percuma.


Ketua Seksyen Perhubungan Awam MPK, Izad Zainal Muhammad Safian berkata, caj tersebut dikenakan bagi membolehkan kemudahan yang sedia ada di taman terbabit ditambah baik.


“Kita dalam proses menambah baik kemudahan di taman terbabit dalam usaha   memastikan pengunjung selesa setiap kali mengunjungi taman terbabit.


“Kita turut merancang menambah tempat duduk, membina wakaf, tandas awam dan gerai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.


Beliau berkata, pihaknya juga akan menambah bilangan haiwan seperti walabi dan beberapa spesis burung baharu bagi menarik lebih ramai pengunjung.


Selain itu, Izad berkata,haiwan sedia ada di taman ini akan dikekalkan, namun pihaknya berusaha meningkatkan kualiti penjagaan haiwan tersebut.


Dalam pada itu, Izad memberitahu, MPK membelanjakan hampir RM20,000 sebulan bagi tujuan makanan haiwan di taman tersebut.


“Kita yakin caj yang dikenakan ini tidak membebankan pelanggan, “ katanya.

 


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]