Pegawai penguatkuasa PBT jangan emosi

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Pegawai penguatkuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) dinasihatkan lebih bersabar serta tidak terlalu emosi ketika menjalankan pemantauan dan operasi terutamanya melibatkan pemeriksaan lesen dan permit perniagaan.


Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata, mereka seharusnya perlu lebih bertanggungjawab dan berhemah bagi mengelak berlakunya konflik yang boleh menyebabkan pergaduhan dan salah faham.


Ia susulan satu klip video yang menunjukkan pergaduhan antara penguatkuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) dengan peniaga di Jalan Taiping, Klang mula tular di media sosial.


“Saya sudah hubungi Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin dan beliau memaklumkan pada saya yang insiden tersebut bermula pada hari sebelum kejadian, terdapat salah faham antara penguatkuasa dan peniaga.


“Jadi saya nak nasihatkan pegawai kerajaan dan penguatkuasa tidak kira daripada kementerian saya pun, mereka perlu ada kesabaran dan tidak menunjukkan emosi sampai memukul orang,” katanya selepas merasmikan kempen keselamatan kebakaran sempena sambutan Hari Raya di sini, hari ini.


Dalam video berdurasi 46 saat itu berlaku insiden tegang membabitkan penguatkuasa MPK dan peniaga sehingga menyebabkan kejadian tumbuk-menumbuk  antara mereka.


Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai pilihan raya PBT yang mungkin boleh dilaksanakan dalam masa sekurang-kurangnya tiga tahun lagi, Zuraida berkata tempoh itu tidak terlalu lama kerana mengambil kira pelbagai faktor penting.


Beliau berkata, kerajaan perlu mengkaji semua kertas kerja dan pelbagai sistem yang berkaitan dengan undang-undang sedia ada sebelum boleh melaksanakan pemilihan tersebut.


“Proses ini memang lama kerana kita perlu bincangkan di peringkat Kabinet  terlebih dahulu sebelum meneruskannya, dan pihak kerajaan negeri juga perlu bersetuju untuk adakan pilihan raya. Kita boleh cadangkan tetapi pada akhirnya terserah kepada mereka untuk teruskan atau menolak (cadangan itu),” katanya.


Zuraida sebelum ini dilaporkan berkata buat masa ini kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu mengutamakan pelbagai perkara penting lain terlebih dahulu seperti memastikan kedudukan kewangan negara stabil, sebelum mengadakan pemilihan PBT. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]