Pekerja Myanmar maut ditikam rakan

in Edisi Utara by


BUKIT MERTAJAM – Seorang lelaki warganegara Myanmar ditemui maut dengan beberapa kesan tikaman berdekatan sebuah kilang dekat Jalan Bukit Tambun, Juru, di sini, semalam.


Kejadian kira-kira jam 8.55 malam itu menyebabkan mangsa yang berumur lingkungan 20-an maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di anggota badan.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam memaklumkan terdapat pergaduhan di tempat kejadian.


“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku di hadapan bilik asrama yang terletak di belakang sebuah kilang.


“Kejadian berlaku melibatkan mangsa dengan seorang suspek warganegara Myanmar disebabkan perselisihan faham setelah mereka mengambil minuman keras.


“Suspek telah menggunakan pisau dan mencederakan mangsa. Selepas kejadian, suspek terus melarikan diri bersama seorang lagi rakannya,” katanya.


Menurutnya, suspek dan mangsa yang bekerja di kilang tersebut sejak dua bulan lalu turut tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.


“Pihak syarikat juga tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah mengenai butiran mangsa dan suspek.


“Hasil siasatan mendapati kawasan itu mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan kejadian itu telah dirakam.


“Hasil siasatan di tempat kejadian oleh pihak forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang menemui dua swab darah milik mangsa dan sepasang selipar,” katanya.


Jelasnya, siasatan Unit K9 IPK Pulau Pinang di tempat kejadian juga gagal mengesan barang kes ataupun suspek yang melarikan diri.


Nik Ros Azhan berkata, terdapat dua kesan tikaman di bahagian dada kiri dan satu kesan kelar di bahagian pipi kiri mangsa yang bekerja sebagai operator di kilang tersebut.


Setakat ini pihak polis telah menahan seramai enam individu iaitu dua lelaki warganegara Nepal, seorang kerani, pegawai sumber manusia, penyelia dan pengarah kilang tersebut untuk membantu siasatan.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]