Polis tangkap semula dua tahanan lolos lokap

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Dua suspek yang dilaporkan melarikan diri daripada tahanan lokap di Balai Polis Gelang Patah, di sini, berjaya ditangkap semula.


Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, kedua-dua suspek ditangkap di Kuala Sedili, dekat Kota Tinggi sekitar jam 2.45 petang tadi.


“Itu adalah satu tindakan nekad daripada dua OKT tersebut. Apabila anggota polis kita buka pintu lokap itu, dia telah ‘rush’ kepada anggota kita dan terus lari keluar.


“Tetapi pada jam 2.45 petang tadi, kedua-dua mereka telah berjaya ditangkap semula. Mereka telah ditangkap dalam tempoh lapan jam,” katanya kepada pemberita pada sidang media Majlis Perasmian Op Selamat 13/2018 Sempena Hari Raya Aidilfitri di sini, hari ini.


Mohd Khalil berkata, polis akan melakukan siasatan terperinci berhubung perancangan dan rangkaian yang membolehkan kedua-dua suspek boleh lari sehingga ke Kuala Sedili.


Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan iaitu dengan cuai menyebabkan orang tahanan melarikan diri dan lari daripada tahanan yang sah.


“Kita sedang menyiasat, sekarang ada dua anggota yang bertugas. Jadi kedua-dua anggota tersebut disiasat dan tindakan tegas akan diambil sudah tentu,” katanya.


Terdahulu, media melaporkan dua suspek yang dilaporkan berjaya meloloskan diri daripada tahanan lokap di Balai Polis Gelang Patah, di sini, kira-kira jam 6.15 pagi tadi.


[ARTIKEL BERKAITAN: Dua tahanan lolos dari lokap polis]


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]