Raikan, hormati kepelbagaian kaum

in Uncategorized by


BANDAR KUALA KANGSAR – Kepelbagaian ciri dan perbezaan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia aset penting dan unik yang wajar dipertahankan semua rakyat.


Pendapat itu disuarakan Adun Belia Perak, Beh Zeng Kang yang merasakan integrasi nasional merupakan intipati penting dalam kestabilan politik sesebuah negara.


Menurutnya, jika rakyat melihat setiap perbezaan itu merupakan sesuatu yang bernilai maka sudah pasti mereka akan bersungguh-sungguh mempertahankannya.


“Malaysia mempunyai limitasi atau had tertentu dalam Perlembagaan yang melindungi kepentingan kaum tertentu, namun pada masa sama tidak menafikan hak kaum lain.


“Formula toleransi yang diamalkan selepas merdeka sehingga kini tidak akan berkesan jika wujud golongan ekstremis yang taksub dalam memperjuangkan hak-hak kaum tertentu.


“Sebagai sebuah negara berkomposisikan pelbagai kaum, sistem demokrasi dalam politik negara harus dihormati,” katanya kepada Sinar Harian.


Tambahnya lagi, sifat liberalisasi memperjuangkan kebebasan mutlak dalam sebuah negara demokrasi adalah mustahil untuk dilaksanakan.


“Pelbagai persoalan dibincangkan dalam dunia moden atas nama demokrasi yang lazimnya melibatkan kesamarataan, keagamaan dan kebebasan sivil.


“Contoh negara demokrasi bersifat liberal seperti beberapa negara Eropah yang terang-terangan bercanggah dengan nilai dan norma masyarakat di Malaysia.


“Ia mengakibatkan usaha untuk mencapai integrasi nasional semakin rumit. Malah, sebenarnya banyak usaha perlu dilakukan untuk selesaikan konflik dalaman negara pula,” ujarnya.


Menurutnya, Malaysia turut tidak terlepas daripada perbezaan pemikiran, ideologi yang disalah ertikan sehinggan mampu menjejaskan perpaduan yang dibina selama ini.


“Justeru, pemahaman terhadap integrasi nasional amat penting. Sekiranya ia diabaikan, sudah semestinya ia akan memberi impak negatif kepada negara,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]