Razif sedia undur diri

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU- Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman bersedia untuk mengundur diri dan membeli laluan kepada muka baharu menerajui bahagian itu dalam pemilihan akan datang.


Menurutnya, ia bagi memberi peluang kepada mana-mana individu terutamanya orang muda, bagi melihat perubahan dalam kepimpinan Umno bahagian.


Bagaimanapun, sekiranya tiada mana-mana pihak yang menawarkan diri untuk bertanding ketua bahagian, dia bersedia memikul tanggungjawab itu sekali lagi.


“Walaupun jika saya tidak lagi menjadi ketua bahagian, saya akan membantu sepenuhnya dan bertindak sebagai penasihat dalam memastikan kita dapat ambil balik kembali negeri dan pusat.


“Saya tiada masalah untuk mengundur diri, cuma ‘standby’ kalau tiada calon. Tapi saya dapat makluman, akan ada calon yang tawarkan diri dan kita juga sedang berbincang.


“Paling penting hari ini bukanlah jawatan, tapi untuk kembalikan semula solidariti dan permuafakatan untuk perkuatkan jentera bagi menghadapi PRU15 lima tahun lagi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Pengerusi BN Terengganu bersama Kelab Wartawan Media Terengganu di sini, malam tadi.


Sementara itu, ditanya mengenai desakan sesetengah pihak agar beliau meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Ahmad Razif berkata, dia sendiri telah menawarkan diri untuk memberi laluan kepada orang lain.


Bagaimanapun katanya, Pemangku Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah meminta semua pengerusi badan perhubungan negeri memegang jawatan itu sementara.


“Sebenarnya sudah ada perbincangan antara saya dengan Datuk Seri Idris Jusoh, Datuk Seri Ahmad Said dan Datuk Rosol Wahid serta kepimpinan yang lalu bagi membincangkan hala tuju Umno Terengganu.


“Tetapi keputusannya akan ditentukan oleh presiden. Di pihak kita tiada masalah, kita akan terima siapa sahaja yang akan diberi peluang untuk menerajui kepimpinan badan perhubungan dan seterusnya akan bertindak sebagai jeneral dalam menghadapi PRU15, ” katanya.


Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan akan mengundur diri dari menerajui Persatuan Bolasepak Terengganu, memandangkan kepimpinan bola sepak negeri perlu berkait dengan kerajaan negeri.


“Insya-Allah dalam masa terdekat ini, akan ada satu peralihan jawatan presiden, timbalan presiden kepada kepimpinan yang baharu. Kita akan buat EGM bulan depan,” jelasnya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]