Razif sokong Mat Said tanding Naib Presiden Umno

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Umno Terengganu akan memberikan sokongan penuh kepada bekas menteri besar, Datuk Seri Ahmad Said untuk bertanding jawatan Naib Presiden Umno dalam pemilihan akan datang.


Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, Umno Terengganu juga akan turut berkempen bagi memastikan wakil tunggal Terengganu itu menang dalam pemilihan itu.


“Kita berasa gembira dan menyokong penuh pencalonan Adun Kijal, Datuk Seri Ahmad Said sebagai Naib Presiden Umno kerana sebelum ini tidak ada wakil dari Terengganu, kecuali semasa zaman Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad.


“Jadi hari ini kita ada seorang lagi, sudah pasti Umno Terengganu akan memberikan sokongan penuh dan kita akan berkempen kerana beliau menjadi satu-satunya wakil Terengganu yang akan sampai di peringkat kepimpinan tertinggi.


“Sudah pasti menjadi kewajipan untuk kepimpinan Umno Terengganu menyokong dan membantu kempen Datuk Seri Ahmad Said,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa Pengerusi BN Terengganu bersama Kelab Wartawan Media Terengganu di sini, malam tadi.


Sementara itu, ditanya tentang ramai anak muda yang kedepan menawarkan diri untuk bertanding dalam pemilihan kali ini, beliau berkata, situasi itu adalah perkembangan baik untuk parti.


Ini menunjukkan sangkaan awal yang tiada siapa yang ingin bertanding adalah tidak benar dan menunjukkan situasi positif untuk Umno.


“Saya tengok di peringkat pusat sendiri, lebih 200 orang yang tawarkan diri untuk bertanding dalam kepimpinan Pemuda Malaysia. Ini satu perkembangan yang amat baik, bahawa Umno ini masih relevan dan berada di hati sanubari orang-orang Melayu terutamanya orang muda.


“Saya berkeyakinan Umno akan bangkit selepas ini kerana apa yang diperlukan ketika ini ialah kita perlu bermuhasabah dan melihat balik akan kekuatan-kekuatan yang perlu kita tonjolkan untuk kita mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap Umno dan BN,” katanya.


Jelas beliau, jika melihat keputusan PRU14 baru-baru ini, Umno memiliki 54 kerusi Parlimen, menunjukkan parti itu adalah parti yang dominan dalam komposisi di Parlimen.


Katanya, ia menunjukkan Umno masih kuat, cuma mungkin disebabkan kesilapan strategi sebelum ini, beberapa perkara yang perlu diperbetulkan dalam memulihkan dan membetulkan Umno dan BN.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]