SJAM sedia ambulans di empat pintu masuk Kelantan

in Edisi by


KOTA BHARU – St John Ambulans Malaysia (SJAM) Kelantan memperuntukkan sebuah ambulans masing-masing di empat pintu masuk utama ke Kelantan sempena Aidilfitri.


Setiausaha Kehormat SJAM, Nordin Abdullah berkata, empat ambulans itu akan ditempatkan di Pos D’ Kuala Resot Tok Bali, Wakaf Licong, Jabatan Pengangkutan Jalan Laloh dan Kawasan Rehat dan Rawat Jeli.


“Empat pos yang dipilih ini berdasarkan lokasi yang berisiko tinggi berlaku kemalangan. Ambulans yang ditempatkan ini akan berada di pos berkenaan dan beroperasi 24 jam.


“Tempohnya bermula pada dua hari sebelum Aidilfitri iaitu ketika waktu kemuncak perantau pulang ke kampung pada 13 dan 14 Jun serta selepas hari raya iaitu pada 22 dan 23 Jun ini, waktu yang dijangka perantau akan pulang bekerja di ibu kota,” katanya pada pelancaran perkhidmatan itu, semalam.


Turut sama diadakan majlis berbuka puasa bersama Majlis Belia Kelantan di New Horizon.


Beliau berkata, usaha dilakukan pihaknya itu bertujuan meningkatkan perkhidmatan terbaik kepada pengguna jalan raya yang terbabit dalam kemalangan.


“Seperti yang dijangka PDRM Kelantan, sejumlah 1 juta kenderaan akan masuk ke Kelantan sempena musim perayaan ini dan jumlah itu akan menyebabkan kesesakan lalu lintas serta meningkatkan lagi risiko berlaku kemalangan.


“Kesesakan lalu lintas ini menjadi kekangan dan melambatkan ambulans untuk tiba di lokasi kejadian. Jadi, kami bersedia di lokasi yang berisiko supaya tiba lebih awal bagi menyelamatkan mangsa yang terlibat,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]