Tahap kesedaran bahaya denggi meningkat

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Kesedaran mengenai pencegahan wabak denggi dalam kalangan masyarakat setempat kini semakin meningkat.


Pengerusi Jawatankuasa Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi), Isa Paksun berkata, ini berikutan tahap kesedaran direkodkan meningkat kepada 65 peratus daripada 50 peratus.


“Kesedaran menjaga kebersihan tempat tinggal merupakan perkara asas bagi memastikan kawasan berisiko tinggi pembiakan nyamuk aedes dapat dihapuskan secara berkesan.


“Combi sendiri secara berterusan mengadakan pelbagai program kesedaran walaupun kami merupakan badan kesukarelaan tetapi tetap bersemangat untuk menyebarkan tentang bahayanya denggi,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas mengadakan program Aidilfitri Tanpa Aedes di Stesen Minyak Petronas berdekatan Tol Skudai, di sini, semalam.


Mengulas program kerjasama Jabatan Kesihatan negeri, Pejabat Kesihatan Daerah Johor itu, Isa yang juga Pengerusi Jawatankuasa Combi negeri berkata, ia bertujuan mengedarkan risalah tentang pencegahan denggi dan racun jentik-jentik untuk memusnahkan nyamuk aedes.


“Program seperti ini diadakan di tempat yang menjadi tumpuan sebagai memberi kesedaran bahaya denggi yang boleh membawa maut.


“Risalah tersebut turut memberi nasihat ketika sebelum dan selepas bercuti hari raya. Antaranya sebelum bercuti, orang ramai dinasihatkan membuang atau menutup bekas-bekas yang menakung air dan sebagainya,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]