'Tidak perlu Sirul untuk buka semula siasatan'

in Nasional by


SHAH ALAM – Kehadiran bekas anggota unit tindakan khas, Sirul Azhar Umar yang dihukum mati selepas didapati bersalah dalam pembunuhan berprofil tinggi wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu tidak diperlukan untuk membuka semula siasatan kes tersebut.


Peguam dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor dari DAP, Ramkarpal Singh berkata, masih ada banyak saksi lain yang boleh dipanggil bagi membantu siasatan kes berkenaan.


“Tambahan pula, pengetahuan Sirul berkenaan siapa yang mengarahkan pembunuhan tersebut kemungkinan besar adalah terhad.


“Walau bagaimanapun, Sirul masih boleh bantu siasatan sekiranya dibawa pulang (ke Malaysia) dengan berkongsi apa yang beliau tahu,” katanya kepada Sinar Harian.


Ramkarpal yang juga peguam kepada bapa Altantuya kini sedang menguruskan perjalanan Shaariibuu Setev ke negara ini untuk bertemu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dijangka dalam tempoh seminggu dua ini.


[ARTIKEL BERKAITAN: Hukuman mati Sirul mungkin ditukar kepada penjara]


[ARTIKEL BERKAITAN: Sirul sedia dedah perkara sebenar pembunuhan Altantuya]


[ARTIKEL BERKAITAN: Australia luluskan ekstradisi Sirul]


Pada 8 Jun lalu, Dr Mahathir berkata, kerajaan akan mengkaji terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat untuk membuka semula kertas siasatan kematian Altantuya.

Ramkarpal Singh


Beliau juga berkata, hukuman mati Sirul mungkin akan diganti kepada penjara seumur hidup bagi membolehkan bekas anggota UTK itu dibawa pulang ke negara ini.


Memetik laporan akhbar harian Britain, The Guardian, pihak berkuasa Australia telah meluluskan permohonan Malaysia untuk mengekstradisi Sirul dan dijangka pulang ke tanah air dalam tempoh sebulan.


Bagaimanapun, laporan itu kemudiannya dinafikan Dr Mahathir pada sidang media Jumaat lalu.


Sirul Azhar dan Azilah Hadri yang merupakan pegawai keselamatan Datuk Seri Najib Tun Razak yang merupakan timbalan perdana menteri ketika itu didapati bersalah atas tuduhan membunuh model sambilan warga Mongolia tersebut, 12 tahun lalu.


Kedua-duanya dibebaskan pada 2013, Sirul kemudiannya melarikan diri ke Australia dan ditahan di pusat tahanan Sydney Villawood.


Pembebasan mereka ditarik semula Mahkamah Persekutuan dan hukuman mati disabitkan.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]