23 kanak-kanak ditaja jalani pembedahan hati di China

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Seramai 23 kanak-kanak selamat menjalani pembedahan hati di China menerusi usaha Nadi Permata di bawah Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) sejak 2014.


Presidennya, Marsilah Yuhaini Baharuddin berkata, setiap pembedahan mengambil kos sekitar RM200,000 merupakan dana kutipan yang dijayakan DPMM bagi membantu pihak memerlukan.


“Kanak-kanak tersebut terdiri daripada berbilang bangsa dari seluruh negara yang mana usaha ini adalah idea Pengerusi DPMM Johor, Datuk Syef Ali Al-Attas sejak empat tahun lalu.


“Pada 28 Jun ini, dua lagi kanak-kanak berusia enam bulan dan dua tahun akan dibawa ke China untuk menjalani pemindahan hati,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas hadir program DPMM (Dewanita) negeri menyantuni pesakit di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, semalam.


Program itu disempurnakan oleh isteri Syed Ali, Datin Jamaliah Ahmad.


Pada program berkenaan mereka menyampaikan sumbangan berbentuk bubur ayam, kuih, kek buah dan air untuk 550 pesakit HSA sebagai juadah berbuka puasa.


Dalam pada itu, Marsilah yang juga Pengerusi DPMM (Dewanita) negeri berkata, pihaknya giat membuat program promosi pembangunan produk halal dalam kalangan ahlinya.


“Kami memiliki 130 ahli yang mana 10 daripada aktif menjalankan perniagaan produk halal membabitkan makanan, kuih dan produk sejuk buka.


“Selain itu, kami sendiri aktif mengadakan seminar dan kursus untuk peningkatan kemahiran bagi mendepani cabaran perniagaan masa kini,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]